Saksi Cerita Pengalaman Ngeri Padam Kebakaran Pusat Tahfiz

KUALA LUMPUR – Seorang anggota bomba memberitahu Mahkamah Tinggi di sini dia melihat seorang lelaki sedang berpaut di besi kompresor penghawa dingin di tingkat 3 bangunan Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah, sambil mendukung seorang bayi ketika api sedang marak membakar pusat itu September tahun lalu.

Muhammad Hafizmullah Muhd Nor, 30, yang berkhidmat di Balai Bomba Keramat berkata ketika itu dia bersama pasukannya yang terdiri daripada 6 individu dan sebuah jentera, baru sahaja tiba di pusat tahfiz pada jam 5.47 pagi, 14 Sept 2017 selepas menerima panggilan kebakaran pada jam 5.41 pagi.

Muhammad Hafizmullah berkata pada waktu itu api sedang menjulang keluar daripada tingkap di tingkat 3 bangunan diiringi suara jeritan.

“Masa tu kebakaran 70-80%. Saya dengar ada orang menjerit minta tolong dekat tepi tingkap tingkat atas sekali. Kami nak buat pemadaman, tapi sebab ada orang minta tolong, kami buat menyelamat dulu.

“Yang pertama diselamat seorang bayi lelaki. Ada seorang lelaki dewasa sedang pegang bayi, dia berpaut di besi dan pijak atas kompresor di luar tingkap,” katanya menambah seorang anggota dikenali sebagai Osman mengambil bayi tersebut dengan meletakkan tangga di kompresor, manakala lelaki tersebut turun sendiri.

Saksi pendakwaan ke-20 itu berkata demikian ketika pemeriksaan utama Pengarah Pendakwaan Kuala Lumpur Othman Abdullah pada perbicaraan hari ke-8 kes 2 remaja didakwa membunuh 21 pelajar dan 2 warden pusat tahfiz berkenaan, tahun lalu.

Menceritakan lanjut, saksi berkata lelaki yang diselamatkan itu kemudian memberitahu bahawa terdapat 3 lagi individu iaitu seorang wanita dan 2 kanak-kanak perempuan di tingkat 3 tersebut menyebabkan Osman naik semula menggunakan tangga.

“Osman naik balik, bawa turun seorang kanak-kanak perempuan. Lepas tu dia (Osman) naik lagi, pecahkan pintu, mereka turun dengan tangga berdekatan tandas,” katanya.

Katanya selepas menyelamatkan 5 individu itu serta tiada sebarang jeritan didengari, pasukannya terus membuat operasi pemadaman dan dia bersama seorang lagi anggota naik ke tingkat 3 tersebut untuk memadam kebakaran.

Muhammad Hafizmullah berkata, ketika itu api tidak lagi marak dan tiada sebarang jeritan didengari namun sebaik dia menyuluh lampu suluhnya untuk melihat kawasan kebakaran di dalam asrama yang gelap, dia ternampak tengkorak.

“Saya ingat kain buruk, ada mayat, nampak tengkorak, tak tahu berapa ramai,” katanya yang kemudian turun dan memaklumkan perkara itu kepada Suhaimi Abdul Shukor, penyelia yang mengetuai operasi itu.

Saksi berkata sebaik pihak forensik selesai membuat tandaan pada mayat tersebut, dia dan anggota bomba lain diarahkan membawa mayat turun menggunakan pengusung dan meletakkan ke dalam trak polis.

Dua remaja lelaki yang ketika itu berumur 16 tahun didakwa bersama-sama membunuh dan menyebabkan kematian 23 penghuni di Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah, Jalan Keramat Hujung, Kampung Datuk Keramat, Wangsa Maju, antara jam 4.15 pagi dan 6.45 pagi, 14 Sept 2017.

Mereka masing-masing menghadapi 23 pertuduhan membunuh mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama, yang memperuntukkan hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan.

Seksyen 97(1) Akta Kanak-kanak 2001 menyatakan bahawa hukuman mati tidak boleh dijatuhkan ke atas pesalah kanak-kanak bawah umur 18 tahun namun mahkamah boleh menjatuhkan hukuman penjara selama mana diperkenankan Yang di-Pertuan Agong dan mengikut Seksyen 94 akta sama juga mempunyai kuasa untuk memerintahkan supaya ibu bapa dikenakan denda atau membayar pampasan.

Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Azman Abdullah bersambung hari ini. – BERNAMA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.