Ringgit Catat Prestasi Ke-4 Terburuk Di Asia

KUALA LUMPUR – Ringgit muncul mata wang keempat di rantau ini yang mencatat prestasi terburuk selepas baht, yuan dan rupee, apabila menyusut 4.6 pe­ra­tus antara April hingga Jun tahun ini disebabkan pengukuhan dolar Amerika Syarikat (AS) dan cabaran di peringkat domestik.

Ketua Ekonomi dan Ketua Penyelidikan Ambank, Dr. Anthony Dass menjangkakan ringgit terus menerima tekanan terutama ketidaktentuan ekonomi global dengan ketika ini mata wang itu berada di bawah nilai berdasarkan kepada kuasa pembelian yang tidak seimbang dan kadar tukaran asing sebenar.

Bagaimanapun katanya, trend penyusutan ringgit boleh dita­ngani sekiranya faktor dalaman menunjukkan pertumbuhan ekonomi di peringkat domestik, inflasi yang stabil, pula­ngan yang positif dan Bank Negara Malaysia (BNM) mengekalkan kadar dasar semalaman (OPR) pada 3.25 peratus sepanjang tahun ini.

“Dalam masa sama, sedikit kelemahan dolar AS akan memberi kelegaan kepada ringgit. Tetapi, kita tidak boleh menolak cabaran yang timbul daripada krisis hutang negara-negara ekonomi baharu muncul.

“Walaupun ekonomi berada pada lebihan akaun semasa, namun defisit fiskal dan hutang awam yang tinggi akan meningkatkan kelemahan ringgit sekiranya terdapat sebarang krisis. Kelemahan se­perti itu akan timbul jika Rizab Persekutuan AS menjadi lebih agresif dalam usaha memperketatkan kadar faedah mereka.

“Dengan faktor-faktor ini, kami menjangka­kan ringgit te­rus lemah antara lima hingga 10 peratus. Keadaan ini turut didorong oleh tekanan jangkaan OPR dikekalkan ataupun tidak sekalipun BNM mempunyai ruang untuk mengurangkan kadar tersebut dan mengekalkan pulangan yang positif memandang­kan inflasi adalah rendah,” katanya dalam nota kajian di sini semalam.

Dalam sesi dagangan pagi, ringgit dibuka rendah pada RM4.0320 berbanding dolar AS berikutan laporan berita bahawa Presiden Donald Trump dijangka mengenakan tarif 10 peratus ke atas senarai eksport China bernilai AS$200 bilion (RM806 bilion) ke AS. Semalam ringgit ditutup pada paras RM4.0200 berbanding dolar AS.

Pagi semalam juga menyaksikan pasaran saham utama dan Bursa Malaysia jatuh memandangkan pelabur mengeluarkan aset yang berisiko selepas AS dilaporkan mahu mengenakan lebih banyak tarif ke atas China. Indeks FBM KLCI pagi semalam jatuh 4.58 mata ke paras 1,682.55 mata.

Sementara itu, menurut firma penyelidikan MIDF Research, keyakinan perniagaan tetap kekal lemah dalam tempoh tiga hingga enam bulan disebabkan perubahan dasar dan pembaharuan yang dilaksanakan kerajaan terutama semakan semula projek mega dan pembatalan projek Kereta Api Berkelajuan Tinggi Kuala Lumpur-Singapura (HSR) dan Laluan Tiga MRT (MRT3).

Katanya, ringgit juga berlegar sekitar RM3.90 hingga RM4 sejak akhir April 2018 di tengah-tengah ketidaktentuan dasar kerajaan, perubahan struktur dan faktor luaran.

“Kadar sifar cukai barang dan perkhidmatan (GST) dan semakan berterusan dalam projek mega akan turut memberi tekanan kepada pasaran hingga menjejaskan prestasi ringgit pada bulan-bulan akan datang.

“Namun, kami menjangkakan keyakinan perniagaan kembali meningkat pada suku ketiga tahun ini apabila Bajet 2019 dibentangkan pada Oktober diikuti semakan pertengahan tahun Rancangan Malaysia ke-11 (RMK-11) hujung tahun ini.

“Malaysia juga dijangka mencatat pertumbuhan Kelua­ran Dalam Negara Kasar (KDNK) melebihi lima peratus dengan mengambil kira suku pertama KDNK, 5.4 peratus,” katanya. – UTUSAN

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.