Lengkaplah ‘Tiga Serangkai’ Posisi Badan Kehakiman Negara Diisi Bukan Islam – PAS

KUALA LUMPUR – Dengan pengumuman Tan Sri Richard Malanjum sebagai Ketua Hakim Negara yang baharu, maka lengkaplah posisi “tiga serangkai” pada sektor badan kehakiman negara bawah kerajaan Pakatan Harapan (PH).

Menurut Ketua Penerangan Pas Pusat, Nasrudin Hassan, posisi “tiga serangkai” yang sangat meresahkan umat Islam itu ialah pelantikan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (bahagian hal ehwal undang-undang), Datuk Liew Vui Keong; Peguam Negara, Tommy Thomas dan semalam, Richard Malanjum (Ketua Hakim Negara).

“Kerajaan PH sekali lagi berjaya pecah rekod pelantikan Ketua Hakim Negara dari kalangan bukan Islam sejak pertama kali ia diperkenalkan selepas pembentukan Malaysia 1963 dengan nama awalnya Lord Presiden.

“Hanya Lord Presiden yang pertama terdiri dari kalangan bukan Islam iaitu Tun Sir James Beveridge Thomson.

“Melihat tiga posisi penting itu telah diisi oleh figure yang sangat meresahkan umat Islam, apakah masih ada harapan rakyat khasnya umat Islam untuk melihat masa depan Islam terus terbela di bumi Malaysia ini khasnya dalam hal yang melibatkan undang-undang” soal beliau dalam kenyataan kepada media di sini, hari ini.

Menurut Nasrudin, melihat kepada rekod penghakiman Ketua Hakim Negara yang baharu ini, terdapat corak penghakiman yang tidak menyebelahi Islam.

Malangnya, kata beliau, kerajaan PH boleh memekakkan telinga dari mendengar keluhan dan teguran umat Islam serta tergamak membutakan mata dari melihat bagaimana reaksi bimbang orang Islam terhadap perkembangan itu.

“Reaksi bimbang dan teguran umat Islam telah jelas kedengaran sejak dari pelantikan Peguam Negara tempoh hari lagi. Kini pelantikan Ketua Hakim Negara pula bakal mengundang petaka buat umat Islam.

“Langkah kerajaan PH juga dilihat tergesa-gesa dan tergopoh-gapah. Entah apa yang dikejar. Peletakan jawatan Tun Md. Raus Sharif hanya berkuatkuasa pada 31 Julai. Pelantikan Richard Malanjum semalam menjadikan kini Malaysia mempunyai dua Ketua Hakim Negara sebelum berakhir 31 Julai ini.

“Mungkinkah juga Tun Md. Raus telah dipaksa untuk membuat surat peletakan jawatan yang baru berkuatkuasa serta merta?” soal beliau.

Kata Nasrudin, jika masih kekal peletakan jawatannya efektif pada 31 Julai, apakah ini suatu langkah yang berpelembagaan dan juga bermakna sudah ada campur tangan kerajaan dalam sistem badan kehakiman?

“Episod apa lagi yang bakal disaksikan oleh umat Islam selepas ini. Sudahlah Islam terumbang ambing di zaman kerajan Barisan Nasional (BN) dahulu, ternyata kini perubahan yang dilaungkan itu rupanya ke arah yang lebih teruk dan buruk.

“Apakah situasi ini meletakkan umat Islam terlepas dari mulut harimau lalu dilibas ekor buaya?” ujarnya. – MalaysiaGazette

One thought on “Lengkaplah ‘Tiga Serangkai’ Posisi Badan Kehakiman Negara Diisi Bukan Islam – PAS

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.