Zuraida Nafi Jadi Jururunding Selesai Hutang Dengan Yayasan Selangor

Ahli Parlimen Ampang, Zuraida Kamaruddin menafikan dakwaan bahawa beliau menjadi jururunding kepada sebuah syarikat swasta untuk menyelesaikan hutang dengan Yayasan Selangor.

Katanya dakwaan yang dibuat oleh NGO Impak adalah tidak berasas dan tidak rasional.

“Tambahan pula ia di keluarkan tanpa bertanggungjawab secara surat layang,” katanya kepada Malaysiakini.

Katanya lagi, perkara yang dibangkitkan itu berkaitan hutang kepada Yayasan Selangor, sekaligus tidak wujud langsung isu salah guna wang.

“Adalah terpulang pada syarikat untuk selesai hutang, jika tidak, Yayasan Selangor boleh mulakan tindakan sivil untuk
menuntut hutang,” katanya.

 

Semalam Presiden Inspirasi Melayu Gombak (Impak), Datuk Zul Azhari Mohamed Juah dilaporkan menggesa seorang ahli parlimen dan seorang bekas ADUN PKR tampil menjelaskan isu berkaitan dakwaan hutang dengan Yayasan Selangor.

Zul Azhari dilaporkan mendakwa menerima surat layang yang menyebut kedua-dua pemimpin itu telah menjadi jururunding
kepada sebuah syarikat swasta bagi menyelesaikan hutang sewaan empat premis di sebuah bangunan.

Zul Azhari bagaimanapun tidak memperincikan butiran syarikat dan premis yang didakwanya berhutang dengan Yayasan Selangor itu. – Malaysiakini

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.