Umno Tanya Rafizi: Apa Jasa HARAPAN Di Johor?

Pakatan Harapan (HARAPAN) mesti membuktikan terlebih dulu jasa yang telah mereka dilakukan sebelum boleh menyenaraikan 50 kawasan parlimen yang berpotensi dimenangi dan dikekalkan mereka pada pilihan raya umum (PRU) akan datang.

Anggota Parlimen Sekijang Anuar Manap menganggap kenyataan Naib Presiden PKR Rafizi Ramli baru-baru ini sekadar memberi harapan mereka boleh bertapak kukuh di Johor, sedangkan BN pula sudah membuktikan sebaliknya.

“Kita boleh cakap (apa saja), dia (Rafizi) bercakap sebab dah tak tahu nak bercakap mengenai isu apa.

“Dia hanya bagi harapan sebab nama pun Pakatan Harapan. Kita, BN, kita buat, bukan bagi harapan. Kami tak beri harapan tapi kita dah buktikan,” katanya kepada Malaysiakini.

Rafizi semalam berkata, ada 50 kawasan parlimen berpeluang ditawan atau dikekalkan oleh pembangkang. Lima belas daripada kerusi itu terletak di Johor, termasuk Johor Bahru, Pasir Gudang, Tebrau, Sembrong, Tanjung Piai dan Sekijang.

Kerusi lain yang disenaraikan ialah Labis, Segamat dan Pulai dan Sri Gading.

Mengulas lanjut, Anuar berkata, Rafizi mungkin melihat kerusi yang sedang diwakilinya sebagai potensi ditawan HARAPAN kerana ia kawasan Felda.

Anuar turut mengakui sebelum ini kawasan tersebut mempunyai pelbagai masalah antaranya jalan dan bekalan air.

Bagaimanapun kata Anuar, ia telah diselesaikan.

“Mungkin Rafizi melihat peluang di kawasan Felda sebab kawasan saya ada lima Felda.

“Dia kata peneroka banyak tak sokong BN, dia kata sokongan di kawasan saya menurun kerana ada isu jalan, air dan masalah banjir.

“Kita dah selesaikan selepas tangki air baru bina dengan kos RM2 juta di kawasan Felda, kita buat tebatan banjir, kita hidupkan kembali kawasan industri.

“Kebanyakan isu Felda kita dah atasi, dan kita yakin kita dah selesaikan,” katanya.

Sekadar propaganda

Beliau turut yakin bahawa pengundinya di Sekijang tidak termakan dengan “fitnah” ditabur Rafizi, sebaliknya akan tetap memberi sokongan kepada BN.

Pada PRU ke-13, Anuar memenangi kawasan Sekijang dengan memperoleh 19,934 undi, mengalahkan calon PKR Julailey Jemadi dengan majoriti 3,007 undi.

Bagi Ketua Umno Bahagian Segamat, Zahari Sarip, pula berkata Rafizi sengaja menimbulkan kontroversi bagi meyakinkan pengundi pembangkang di kawasannya.

Bagaimanapun katanya, perkara itu hanya membuatkan Umno terutamanya di Segamat berazam bekerja lebih kuat dan yakin akan memenangi PRU ke-14.

“Saya anggap ia hanyalah propaganda pembangkang untuk yakinkan pengikutnya dengan letakkan Segamat kawasan yang akan mereka menang tapi tak akan berjaya.

“Kita anggap perkara tu sebagai satu daripada ingatan untuk kita kerja lebih kuat,” katanya.

 

Tambahnya, pada PRU ke-13 pembangkang telah membuat perkara yang sama iaitu menyenaraikan Segamat sebagai kawasan yang berpotensi untuk dimenangi, namun ia tidak berlaku.

Pada PRU lalu, calon BN, Datuk Seri Dr S Subramaniam memenangi Segamat dengan 20,037 undi.

Bagaimanapun presiden MIC itu menguasai kerusi berkenaan dengan majoriti agak rendah, iaitu 1,217 undi ketika pencabarnya, Datuk Chua Jui Meng (PKR) mendapat 18,820 undi.-Malaysiakini

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.