Takut Pengaruh Dr Tan Seng Giaw, DAP Mungkin Tolak Pemilihan Semula CEC Parti

KUALA LUMPUR – Ketua Umno Bahagian Cheras, Syed Ali Alhabshee tidak menolak kemungkinan DAP tidak akan mengadakan pemilihan semula Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) kerana khuatir pengaruh pemimpin kanan parti itu, Dr Tan Seng Giaw yang juga Ahli Parlimen Kepong.

Menurutnya, jika pemilihan CEC diadakan semula, kemungkinan kemenangan akan memihak kepada puak Dr Tan yang juga merupakan Timbalan Pengerusi DAP.

“Ada cerita mendakwa wujud hubungan tegang antara Lim Kit Siang dengan Dr Tan, mungkin ini benar dan mungkin sebab itu juga, menjadi punca ketakutan DAP untuk mematuhi arahan ROS,” kata beliau di blog Umnobahagiancheras.

Beliau berkata demikian ekoran hubungan tegang antara Dr Tan dengan Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng susulan teguran ikhlas Dr Tan yang khuatir dengan ‘kehancuran kehijauan’ yang kian serius di Pulau Pinang.

Lim yang juga merupakan Setiausaha Agung DAP, dikatakan ‘naik angin’ dengan kenyataan Dr Tan.

“DAP selama ini mempertahankan amalan diktator bagi memastikan politik dinasti keluarga Lim terus kekal bertapak. Tetapi, DAP terutama Lim Kit Siang kemungkinan tidak akan mengadakan pemilihan semula kerana bimbang amalan diktator akan terhapus,” tambahnya.

Tegasnya, tindakan DAP yang cuba alihkan perhatian dengan menuduh Umno dan kerajaan ada kaitan dengan arahan Pejabat Pendaftar Pertubuhan (ROS), sebagai karut dan tidak berasas.

Sambil menyifatkan DAP sebagai parti rasis paling teruk untuk mengekalkan penguasaan kuku besi dinasti politik keluarga Lim Kit Siang, Syed Ali juga berkata DAP kini tidak mempunyai helah untuk tidak mengadakan pemilihan semula sepertimana diarahkan oleh ROS.

“Untuk berlaku adil dan membuktikan DAP mengamalkan budaya demokrasi, mereka perlu akur dengan arahan ROS,” ujarnya.

Justeru kata beliau, jika DAP berdegil dengan arahan ROS bermakna mereka bersedia untuk diketepikan daripada bertanding pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14 akan datang.

“Itu bukan salah Umno atau kerajaan, yang terbukti salah adalah DAP kerana sengaja untuk tidak mematuhi peraturan atau pun klausa sedia ada yang terkandung dalam syarat pendaftaran ROS,” ujarnya lagi.

Untuk rekod, ROS pada Jumaat mengarahkan DAP untuk mengadakan semula pemilihan Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) yang baru.

Ketua Pengarahnya, Mohammad Razin Abdullah berkata pemilihan yang baru perlu memandangkan pelantikan yang dibuat pada 29 September 2013 tidak sah.

Bagaimanapun, arahan ROS tidak disambut baik oleh DAP, yang mendakwa kemungkinan adanya ‘campur tangan Umno’ dalam keputusan ROS. – BeritaDaily

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.