Rela Tinggal Kemewahan

PAPARAN kehidupan Syahrini yang diselimuti kemewahan memang mengasyikkan. Dari hujung rambut hingga hujung kaki, semuanya jenama masyhur lagi tersohor dunia malah berpergian ke sana sini menggunakan jet peribadi.

Lupakan kisah ditaja seperti yang sering terpalit kerana wanita dengan nama sebenar Rini Fatimah Zaelani ini tidak memerlukan itu semua.

 

Tegasnya, dia tidak perlu bergantung kepada orang lain hanya untuk hidup bermewah-mewahan.

Malah katanya, tidak perlu untuknya marah-marah dengan gosip yang dilemparkan kerana hanya mereka yang mengenalinya secara rapat sahaja yang mengetahui siapa dirinya yang sebenar.

“Kemewahan ini saya peroleh daripada keringat saya.” Demikian tegas Syahrini saat Mega HITS berpeluang menemu bualnya di Jakarta, Indonesia, seminggu sebelum kehadiran Syawal lalu.

Bersyukur dengan rezeki yang dikurniakan Allah kepada dirinya, Syahrini memberitahu, dia berusaha dan bekerja keras untuk memiliki dan memenuhi setiap kehendak dan keinginannya.

“Mungkin sahaja ramai yang tidak tahu bahawa sejak zaman universiti lagi saya adalah pengusaha rumah sewa. Kalau teman-teman seiring saya, mereka tahu siapa bapa saya, siapa keluarga besar saya dan mereka keturunan apa.

“Tetapi dek ramainya pesaing maka saya ditenggelamkan dengan gosip-gosip sebegitu. Saya tidak mahu menangani gosip hidup ditaja biarpun ramai yang bertanya kerana mereka mungkin hairan melihat gaya hidup saya.

“Tetapi saya hanya tertawa sahaja mendengar gosip begitu. Kerana kalau kita marah, ertinya berita itu benar.

“Banyak gosip negatif tentang saya di Indonesia, Malaysia dan Brunei. Saya tahu siapa orang yang membuat cerita negatif tentang saya tapi saya tidak mahu membalasnya.

“Saya perempuan beriman, mudah saja bagi saya, bagaimana Allah menguji kamu fitnah dan dizalimi, maka kamu akan diberi dengan rezeki yang tak disangka-sangka dan buktinya saya sendiri tak tahu dari mana datangnya rezeki ini,” ujarnya.

Menurut Syahrini, selain hasil daripada nyanyian dan pembabitannya dalam dunia pengiklanan yang memberikan hasil yang lumayan, pendapatannya juga datang daripada perniagaan.

“Saya punya banyak apartmen tapi saya tidak pernah mendedahkan itu semua sebelum ini. Tetapi kini saya sudah boleh memberitahunya kerana perusahaan saya sudah kukuh,” katanya lagi.

Malah penyanyi cantik berusia 35 tahun ini juga berani berkata yang dia adalah penyumbang yang besar kepada negaranya menerusi cukai pendapatan yang dibayar.

“Saya bayar bajakan (cukai) negara puluhan bilion bukan puluhan rupiah. Bayangkan, saya ini penyumbang terbesar kepada negara saya. Saya sekarang tenang kerana saya sudah pastikan semua bisnes berjalan lancar.

“Sebab itu saya tidak pernah risau tentang gosip hidup ditaja. Saya tahu siapa musuh saya biarpun bila berjumpa, semuanya manis-manis belaka.

“Saya lebih senang istiqamah dan ingat Allah. Saya di jalan yang benar kerana mencari rezeki dengan keringat sendiri. Saya tidak pernah berbelok daripada syariat Islam.

“Saya yakin kalau kita turuti perintah dan ingat Allah, kehidupan kita akan terpelihara biarpun datang pelbagai dugaan,” ungkapnya tenang.

Bercerita tentang jet peribadinya, Syahrini mempunyai alasan sendiri mengapa menggunakan pengangkutan mewah itu.

Katanya, seiring usia, tahap kecergasannya juga sudah berbeza.

“Ritual pekerjaan saya berbeza. Setiap hari saya bergerak dari satu tempat ke satu tempat.

“Sudah lima tahun saya guna jet peribadi untuk bergerak. Cuba bayangkan kalau guna pengangkutan udara biasa, masa perjalanan sampai dua jam, sedangkan saya dibayar mahal di Kota Makasar, misalnya. Jadi saya mesti patuh waktu di sana.

“Mereka bayar saya dua tiga kali ganda daripada harga biasa. Mereka hanya ingin tiba saya tepat waktu dengan memakai gaun yang indah, saya menyanyi dan menghiburkan mereka, itu saja.

“Kemudian saya harus bergegas ke kota lain pula. Saya tidak mahu mendengar omelan kerana lewat.

“Lagipun saya ini selebriti perempuan yang usianya sudah masuk angka tiga. Berbeza dengan usia 20-an dulu apabila saya tidak ada masalah turun naik pesawat tempatan untuk bergerak ke sana sini,” katanya.

Keutamaan saya lelaki beriman

KEMBALI solo selepas putus cinta tiga bulan lalu, Syahrini mengakui, perbezaan agama membuatkan cinta yang dijalin sejak dua tahun lalu menemui noktah. Menjalinkan hubungan dengan seorang Cina Indonesia warganegara Belanda yang menetap di Indonesia, artis itu memberitahu, dia tidak meneruskan percintaan itu kerana lelaki tersebut seolah-olah tidak ikhlas mempelajari Islam.

“Saya fikir saya boleh bentuk dia untuk sujud kepada Allah selepas memeluk Islam. Saya kesal kerana pada tahun pertama, apabila diperkenal kepada ustaz, dia belajar mengaji dan solat tapi (kemudian) tidak langsung dilakukan lagi. Apabila dia malas belajar, saya fikir bagaimana dia akan membimbing saya?

“Saya melihat seolah-olah dia seperti mempermain agama. Saya tidak akan menukar agama hanya kerana cinta.

“Biarlah percintaan saya putus asalkan saya selamat di akhirat dan disayangi Allah,” katanya.

Biarpun pernah beberapa kali kecundang dalam percintaan, Syahrini bagaimanapun mengakui tidak pernah serik untuk bercinta lagi malah katanya, ramai lelaki yang cuba mendekati dan memiliki hatinya selepas cintanya musnah di tengah jalan namun hatinya bukan mudah untuk ditakluki.

“Apa-apapun, berbalik kepada hati kerana saya orangnya sukar jatuh cinta. Saya akan jatuh cinta dengan orang yang berani melamar dan membeli hati saya terlebih dahulu. Sebenarnya bukan sukar untuk mencuri hati saya, dua tiga bulan saja, kalau saya suka, hubungan itu boleh diteruskan.

“Keutamaan saya bukan lelaki yang menawarkan harta tapi yang membawa keimanan dan hidayah untuk akhirat saya kerana saya tidak akan membawa kecantikan, harta atau populariti. Saya hanya akan membawa kain kafan dan ‘rumah’ saya pun kecil saja.

“Seluruh dunia sudah saya jelajah, karier pun sudah berada di puncak.

“Sekarang saya hanya ingin mendapatkan puncak akhirat tapi bukan ustaz yang saya cari,” selorohnya.

Malah kata Syahrini, biarpun sudah bersedia untuk mendirikan rumah tangga, dia belum terdesak untuk menjadi isteri kedua.

“Saya sanggup tinggalkan aktiviti dan kemewahan saya selepas bernikah jika itu yang dipinta oleh suami.

“Saya sanggup lakukan itu semua tetapi bergantung kepada lelaki itu. Kalau lelaki yang betul-betul sujud kepada Allah, ya, saya lakukan. Tapi kalau solatnya tak betul, saya tidak akan ikuti.

“Saya juga tak mahu nikah siri, temukan saya dengan pangeran (lelaki) yang solo saja. Saya memang jarang pacaran dengan orang Indonesia.

“Masa dulu pun saya bercinta dengan Bubu dari Malaysia, kami bertemu ketika saya buat persembahan di sana. Saya tidak pernah melihat orang kepada status, usia atau latar belakang atau kewangannya kerana kalau saya rasa selesa dengan orang itu, saya teruskan saja.

“Saya cuma pentingkan lelaki yang boleh menjadi imam saya. Solatnya mesti bagus, mampu membahagiakan saya dunia dan akhirat. Lain-lainnya jaminan dari segi kewangan atau karier, bukan keutamaan saya.

“Saya lebih mementingkan lelaki yang boleh mengimamkan saya dan bergaul dengan ahli keluarga saya,” katanya.

Konsert Nova

BAKAL mengadakan persembahan sempena Konsert Nova bersama-sama Dayang Nurfaizah. Faizal Tahir, Judika dan Chakra Khan di Stadium Malawati, Shah Alam, Selangor pada 5 Ogos ini, Syahrini mengakui, sudah siap siaga untuk menghiburkan peminat di Malaysia.

Ujarnya, oleh kerana setiap hari dia mengadakan persembahan maka bukanlah sesuatu yang menyusahkan bagi dirinya kerana perkara itu menjadi sebahagian rutin untuk mempersiap diri mengadakan persembahan besar seperti konsert.

Cuma ketika ini, dia mengakui mempunyai sedikit masalah dengan kerongkongnya sehingga memerlukan rawatan susulan di Hong Kong.

“Sebenarnya saya mula sakit kerongkong sejak setengah tahun lalu, untuk hilangkan rasa tidak selesa itu saya hanya ambil ubat.

“Awalnya saya mendapatkan rawatan di Singapura dan ubat yang diberi salah mengakibatkan badan saya jadi gemuk kerana ubat-ubat itu mengandungi steroid.

“Perubahan berat badan itu membuatkan saya panik dan kemudian doktor di Singapura mencadangkan saya untuk merujuk kepada doktor di Jepun bagi meneutralkan kembali ubat-ubatan yang saya ambil itu. Doktor di Jepun kemudiannya mencadangkan saya merujuk kepada doktor di Hong Kong pula,” katanya.

Menurut Syahrini, sebelum ini dia boleh menyanyi antara 10 lagu hingga 20 buah lagu tanpa rasa penat tetapi apabila kerongkongnya mula mempunyai masalah, dirinya kini cepat 
penat.

“Alhamdulillah menyanyi tidak ada masalah tetapi saya mudah penat selepas enam buah lagu sebab hampir setiap hari menyanyi di tiga kota, Surabaya, Medan, balik ke Jakarta.

“Adakalanya di Makasar, Banjarmasin dan balik semula ke Jakarta. Setiap hari begitu dan saya lupa merawat kerongkong.

“Takut nanti berlarutan ke pita suara.

“Semasa di Jepun saya ada buat imbasan Pengimejan Resonans Magnetik (MRI) dan dicadangkan agar saya ke Hong Kong untuk rawatan selanjutnya.

“Demi konsert yang bakal menjelang, saya sanggup terbang jauh untuk mendapat rawatan agar peminat di Malaysia nanti mampu terhibur dengan persembahan saya kelak,” katanya yang turut bercadang untuk menjayakan konsert berskala besar sempena 10 tahun penglibatannya dalam bidang seni pada tahun hadapan.-Utusan

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.