Prinsip CAT Dalam DAP Sudah Lama Mati, Kata Jenice Lee

KUALA LUMPUR – Prinsip ‘Cekap, Akauntabliti dan Telus (CAT)’ yang dilaungkan DAP telah lama mati kerana parti itu tidak bertindak mengikut prinsip tersebut untuk menguruskan hal ehwal dalaman parti apatah lagi bercita-cita memimpin negara.

Justeru bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Teratai, Jenice Lee yang mendakwa sudah beberapa kali dipecat daripada parti itu dan kali terakhir pada tahun 2013 bertegas tidak akan kembali menyertai DAP selagi seluruh kepemimpinan tertinggi dan anggota Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) tidak ditukar dengan mengadakan pemilihan semula sebagaimana yang diarahkan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS).

Menerusi temu bual dengan Utusan Malaysia, bekas pemimpin DAP berpengaruh di Selangor itu berkata parti itu seharusnya menyelesaikan segala aduan daripada ahli-ahli yang membantah pemilihan CEC pada 2013.

Namun sehingga sekarang tiada sebarang tindakan serta penjelasan yang dilakukan oleh pimpinan tertinggi parti dominan Cina itu.

“Kalau DAP enggan mengadakan pemilihan semula CEC, parti itu sepatutnya kena ada cadangan apakah jalan penyelesaian terhadap segala aduan daripada ahli-ahli yang membantah pemilihan CEC pada 2013 itu.

“Namun sehingga sekarang tidak ada penjelasan daripada mereka. Bagaimana mereka boleh buat alasan telah mengadakan pemilihan semula CEC sedangkan terdapat banyak masalah yang tidak diperbetulkan termasuk aduan yang dibangkitkan ahli sendiri bahawa terdapat ‘pengundi hantu’ pada pemilihan semula tersebut manakala perwakilan yang layak dinafikan haknya,” katanya.

Mengulas lanjut, Janice memberitahu sekiranya pemilihan semula CEC ini diadakan, beliau meminta adanya sebuah badan bebas untuk memantau perjalanan pemilihan ini dari mula hingga akhir iaitu bukan hanya dipantau ketika proses pengundian sahaja, bahkan segala senarai nama perwakilan yang layak disemak sepenuhnya.

Ini katanya kerana ada masalah yang timbul apabila disyaki ada perwakilan yang tidak layak tetapi boleh me­ngundi. Pihak ROS juga perlu meletakkan wakil mereka dan memantau rapi pemilihan semula CEC ini.

“Prinsip CAT parti ini sudah lama mati. Pemimpin mereka cakap tidak serupa bikin. Segala polisi dan undang-undang negara tidak mahu ikut. Begitu juga dengan suara ahli-ahli parti sendiri tidak lagi didengari.

“Jika ada ahli yang mempersoalkan tindakan parti, mereka hanya tahu saman sahaja atau dipecat daripada parti walaupun mereka berhak untuk bertanya. Itulah hakikatnya yang sedang berlaku dalam DAP,” tegasnya lagi.

Ditanya samada beliau masih berminat untuk menyertai DAP, ini jawapan beliau:

“Saya sudah berapa kali keluar masuk DAP. Semasa pemilihan CEC 2013, saya masih lagi mengundi tetapi selepas itu mereka kata saya bukan lagi ahli. Itu pun hanya diberitahu melalui mulut sahaja tanpa surat. Sepatutnya kalau mahu memecat saya sekali lagi, perlu ada prosesnya seperti sesi pendengaran awam dan sebagainya, tetapi semua proses itu tidak ada.

“Saya mempertikaikan pemecatan saya sebagai ahli DAP. Bagaimanapun, saya tidak berminat lagi untuk menjadi ahli DAP sekiranya tidak ada rombakan anggota CEC sekarang ini. Kalau benar-benar mahu memimpin negara, DAP perlu tunjukkan kepada rakyat bahawa mereka bersih, berintegriti dan jujur serta laksanakan apa yang dilaungkan sendiri walaupun hanya 70 peratus.

“Tetapi ini sudah terbalik, malah lagi teruk. Dahulu cakap rakyat adalah ‘bos’ tetapi sebenarnya mereka mahu menjadi bos. Saya amat pelik dengan sikap DAP,” katanya. – KLXpress

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.