Pemuda Umno Johor Sangkal Tuduhan Sertai PPBM

Ketua Penerangan Pergerakan Pemuda UMNO Johor Bahru, Akmal Saufi Mohamed Khaled menegaskan bahawa tuduhan beliau memasuki satu daripada parti politik pembangkang adalah palsu.

Menurutnya, laporan yang telah disiarkan di sebuah laman sesawang milik Parti DAP Malaysia secara langsung telah memfitnahnya dan menggesa portal dan parti terbabit memohon maaf terhadapnya secara terbuka.

“Laporan tersebut adalah tidak benar sama sekali kerana saya masih menjadi ahli Parti Kebangsaan Melayu Bersatu (UMNO) malah terus bergiat berusaha melaksanakan objektif penubuhan UMNO.

“Perbincangan bersama peguam saya telahpun dilakukan. Rentetan perbincangan tersebut peguam saya telah mengeluarkan surat kepada parti politik yang memiliki portal tersebut untuk menurunkan laporan tidak bertanggungjawab itu dan meminta maaf secara terbuka dengan kadar segera,”katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Dalam pada itu, mengulas mengenai dirinya yang masih lagi setia dengan parti keramat Umno, menurutnya parti itu telah banyak berbakti kepada negara terutama di tempat kelahirannya, Johor Bahru.

“Untuk meneruskan bakti tersebut, ia perlu dilestarikan dengan keterusan bakti dari ahli-ahli generasi baharu dengan tunjuk ajar dan hikmah ahli-ahli yang lebih berpengalaman.

“Mana mungkin saya akan berpaling tadah kepada amanah dan tanggungjawab ini?,”katanya.

Sehubungan itu, menurutnya, bagi mendepani dunia yang makin mencabar, hasrat berbakti inilah yang dibawa bersama sahabat-sahabat dalam parti.

“Malah bilangan ahli UMNO segenerasi saya terus bertambah walau sebenarnya kami tidak perlu dan tidak gemar mendabik dada dengan bangganya seperti parti tertentu kerana bukan cara kami sebagai orang bermaruah bercakap besar.

“Kami sedar cabaran yang akan dihadapi negara kini bukan terhad dalam soal keharmonian agama dan bangsa dalam negara dan ekonomi setempat,”katanya.

Tambahnya, perkara itu kini mengjangkau hubungan ekonomi antara negara, keupayaan penggunaan teknologi untuk proses inovasi, keselamatan rantau dan dunia, peperangan memerangi idealisme songsang dan ekstremis, perungkaian dan pemecahan struktur masyarakat dengan ledakan maklumat, hubungan komunikasi hiper, kelestarian sumber alam dan lain-lain lagi.

“Dan dalam setiap perkara ini, percayalah UMNO terus peka dan berusaha merungkai dan senantiasa mencari penyelesaian yang terbaik buat rakyat dan negara.

“Jadi nasihat saya kepada parti pembangkang, usahlah sibuk hal saya, mencari peluang politik murahan dan membuat tuduhan semberono. Banyak lagi perkara yang perlu difikirkan. Paling tidak, tengoklah timeline Instagram saya sebelum buat kenyataan,”akhirinya.-SuaraTV

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.