Ketua Militan IS Al-Baghdadi Dilaporkan Terbunuh

KAHERAH – Kumpulan Pemantau Hak Asasi Manusia Syria (SOHR) mengesahkan bahawa ia menerima ‘maklumat sahih’ bahawa ketua Daesh, iaitu Abu Bakr Al-Baghdadi, sudah terbunuh.

Perkara tersebut dimaklumkan kepada Reuters di ibu kota Mesir di sini semalam, namun agensi berita antarabangsa berpusat di London, Britain itu tidak dapat mengesahkan laporan berkenaan kematian Abu Bakr dengan pasti.

“Kami mengesahkan maklumat ini daripada beberapa pemimpin Daesh, termasuk salah satu daripada ketua utama Daesh daerah pedalaman Deir al-Zor,” kata Rami Abdulrahman, pengarah SOHR yang berpangkalan di Britain.

Kementerian Pertahanan Rusia menyatakan pada 17 Jun lalu mendakwa ia mungkin sudah membunuh Abu Bakr dalam salah satu serangan udara di satu pertemuan komander Daesh di sekitar bandar Syria, Raqqa.

Bagiamanapun Jabatan Pertahanan Amerika Syarikat (AS) di Washington DC menyatakan bahawa ia tidak dapat mengesahkan kematian Abu Bakr malah pegawai-pegawai Barat dan Iraq dikatakan meragui berita tersebut.

Kematian allahyarham pemimpin pengganas itu pernah diisytiharkan pelbagai pihak beberapa kali sebelum ini. Namun SOHR dianggap mempunyai catatan rekod yang lebih berwibawa tentang senario perang saudara di Syria.

Mengulas lanjut, Rami mengatakan sumber kumpulan pemantau itu di Deir al-Zor, di timur Syria diberitahu sumber daripada Daesh bahawa Abu Bakr, 45, sudah pun terkorban “tetapi tidak memberitahu bila” ia sebenarnya berlaku.

Para pegawai Iraq dan Kurdi tidak mengesahkan kematiannya. Jabatan Pertahanan AS dalam pada itu menyatakan bahawa ia tidak mempunyai sebarang maklumat rasmi untuk mengesahkan Abu Bakr telah meninggal dunia.

Laman sesawang Daesh dan rangkaian media sosialnya termasuk agensi berita rasmi Amaq juga tidak pernah membawa sebarang khabar mengenai laporan kematian ketuanya itu yang berasal dari Samarra, Iraq.

Kematian Abu Bakr, yang mengisytiharkan sistem pemerintahan khilafah di sebuah masjid di bandar Mosul di Iraq pada 2014 lalu, akan menjadi salah satu kekalahan besar buat perkembangan Daesh dari segi kejatuhan moral.

Daesh yang cuba bertahan untuk melindungi wilayah dikuasainya di sekitar Syria dan Iraq, kini tertekan malah kawasan takluknya semakin mengecil apabila tentera kerajaan Iraq berjaya menawan semula Mosul minggu lalu.

Abu Bakr atau nama sebenarnya Ibrahim Awad Ibrahim al-Badri, asalnya keluar daripada kumpulan militan al-Qaeda pada 2013, dua tahun selepas ketua rangkaian itu, Osama Laden berjaya dibunuh tentera AS di Pakistan.

Allahyarham pernah ditahan oleh tentera AS di Iraq pada 2004 sebelum dibebaskan setahun kemudian. Ramai penganalisis antarabangsa percaya beliau dilatih Agensi Perisikan Pusat (CIA) untuk membentuk Daesh pada 2008.

Perkara rahsia itu turut didedahkan bekas pakar komputer CIA, Edward Snowden yang mendakwa Daesh asalnya diwujudkan demi menjaga kepentingan Israel dan langsung tidak pernah menyerang negara haram Yahudi tersebut.

Ia sengaja menggunakan nama Islam bagi menarik ribuan anak muda Muslim yang jahil agama dari seluruh dunia konon berjihad menentang kafir dan menegakkan sistem pemerintahan khalifah. – Agensi

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.