Kerajaan Asing Perlu Hormat Hak Malaysia Tangani Masalah PATI

KUALA LUMPUR – Kerajaan asing perlu menghormati usaha Malaysia dalam menahan dan menghantar pulang pendatang asing tanpa izin (Pati) menerusi operasi besar-besaran yang dikenali sebagai ‘Op Mega E-Kad’ di seluruh negara.

Naib Pengerusi Kanan Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF), Tan Sri Lee Lam Thye dalam satu kenyataan hari ini berkata, Jabatan Imigresen telah memberikan tempoh yang lama sejak 15 Februari hingga 30 Jun lepas bagi majikan dan Pati menyertai program Enforcement Card (E-Kad).

“Peringatan telah diberikan puluhan kali menerusi pelbagai saluran media dan tiada sebarang alasan yang boleh diterima jika majikan gagal berbuat demikian,” katanya.

Kerajaan Indonesia baru-baru ini turut meminta kerajaan Malaysia supaya operasi berkenaan dihentikan dan proses pendaftaran Pati dilanjutkan.

Namun, Ketua Pengarah Imigresen Datuk Seri Mustafar Ali sebelum ini menegaskan kerajaan tidak akan melanjutkan program itu.

Program E-Kad yang dilancarkan di seluruh negara membolehkan Pati mendapatkan permit kerja sah selepas melalui beberapa prosedur ditetapkan oleh Kementerian Dalam Negeri.

Lam Thye berkata, kerajaan Malaysia tidak pernah menyekat pekerja asing untuk mencari rezeki halal di negara ini tetapi majikan harus bertanggungjawab dan mematuhi undang-undang dan peraturan yang telah ditetapkan.

“Dilaporkan hanya 23 peratus atau seramai 161,056 Pati didaftarkan melibatkan 28,375 majikan dengan 145,571 E-Kad dikeluarkan sejak permohonan E-Kad bermula 15 Februari,” katanya.

Lam Thye berharap Jabatan Imigresen akan mengambil tindakan tegas mengikut Akta Imigresen 1959/63 terhadap majikan yang didapati melakukan kesalahan menggaji, melindungi Pati dan bersubahat serta membenarkan PATI tinggal di premis mereka.

Sehingga pagi semalam, seramai 3,116 Pati dan 63 majikan telah ditahan dalam Op Mega E-Kad di seluruh negara. – Bernama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.