Tribunal Timbang Tara Tolak Tuntutan Beijing Ke Atas Laut China Selatan

THE HAGUE – China tidak mempunyai asas undang-undang untuk membuat tuntutan ‘hak sejarah’ ke atas gugusan pulau di Laut China Selatan.

 

Perkara yang sekian lama mencetus ketegangan di Asia Tenggara itu diputuskan Tribunal Timbang Tara yang berpangkalan di The Hague pada Selasa, lapor AFP.

 

“Pihak tribunal merumuskan bahawa tiada asas undang-undang bagi China untuk mendakwa hak-hak sejarah di sembilan titik garisan di kawasan laut berkenaan,” ujar Tribunal itu dalam satu kenyataan.

 

Ketegangan di Asia Tenggara

 

Sebelum ini, Kumpulan tujuh menteri-menteri luar (G7) pernah menyuarakan kebimbangan tentang pertelingkahan maritim di Asia, berikutan tindakan pengawalan wilayah dan aktiviti ketenteraan China.

 

Beijing mendakwa mempunyai kuasa ke atas semua kawasan Laut China Selatan walaupun dakwaan yang bertentangan turut dibuat oleh Brunei, Malaysia, Vietnam, Taiwan dan Filipina.

 

Pada 17 Februari lalu, pemimpin-pemimpin ASEAN mengulangi pendirian mahukan satu penyelesaian damai terhadap tuntutan wilayah bertindih ke atas Laut China Selatan.

 

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mahu isu itu mestilah diselesaikan berdasarkan undang-undang antarabangsa dan Konvensyen Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu mengenai Undang-Undang Laut (UNCLOS).

 

Bukan itu sahaja, ketegangan pertikaian Laut China Selatan turut menjadi tumpuan utama dalam perbincangan antara Setiausaha Negara Amerika Syarikat, John Kerry dan Menteri Luar China, Wang Yi.

 

Pada 15 Jun lepas, Malaysia dan negara ASEAN lain tidak mengiktiraf tuntutan China terhadap tuntutan bertindih di Laut China Selatan kerana ia tidak selaras dengan peruntukan undang-undang antarabangsa.

 

Negara-negara Asia Tenggara dan Washington khuatir sekiranya China mengenakan kawalan ketenteraan di keseluruhan Laut China Selatan.

 

Beijing dalam bulan-bulan kebelakangan ini telah membina struktur yang besar termasuk sistem radar dan pangkalan udara di kawasan-kawasan yang dipertikaikan. – Awani

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.