Lelaki Ditemukan Mati Dalam Kereta

IPOH  – Perasaan curiga seorang pekerja sebuah stesen minyak selepas melihat seorang lelaki tidur dalam sebuah kereta yang enjinnya masih hidup, terjawab apabila mangsa rupa-rupanya telah meninggal dunia.

 

Kejadian itu disedari pekerja terbabit kira-kira pukul 10.29 pagi semalam di kawasan Rehat dan Rawat Simpang Pulai, Kilometer 290, Lebuh Raya Utara Selatan arah utara.

 

Mangsa ialah Azman Ab. Wahab, 54, yang beralamat di Taman Ria Jaya, Sungai Petani, Kedah.

 

Ketika ditemukan, mangsa berada di tempat duduk pemandu dalam keadaan terbaring dan enjin kereta Perodua Alza masih hidup.

 

Difahamkan, mangsa dalam perjalanan dari Kuantan, Pahang ke Sungai Petani dan berhenti rehat di kawasan stesen minyak tersebut.

 

Sementara itu, Ketua Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat Simpang Pulai, Khair Md. Noh berkata, pihaknya bergegas ke tempat kejadian sebaik sahaja menerima panggilan kecemasan daripada orang awam.

 

Katanya, pihaknya terpaksa memecahkan cermin sisi kanan sebelah belakang kenderaan itu bagi membolehkan mangsa dibawa keluar.

 

“Pegawai perubatan mengesahkan mangsa meninggal dunia di tempat kejadian dan mayatnya dihantar ke Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) untuk tindakan lanjut,” katanya. – UTUSAN

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.