Isu Hina P Ramlee, David Teo Digesa Tidak Salahkan Media

KUALA LUMPUR — Kumpulan wartawan hiburan menggesa penerbit filem David Teo tidak menyalahkan media dalam kontroversi berhubung isu sejarah hidup Tan Sri P Ramlee.

 

“Persatuan Penulis dan Wartawan Hiburan Malaysia (WHAM) kesal dengan apa yang dijelaskan oleh produser itu kerana ia seolah-olah telah meletakkan seluruh kesalahan kepada pihak media yang ‘kononnya’ tersalah lapor.

 

“Saya percaya media tidak akan mengada-adakan berita kerana mereka beroperasi atas etika kewartawanan yang kami junjung,” kata presidennya Tengku Khalidah Tengku Bidin.

 

“Menjadi prinsip ahli media untuk tidak melaporkan benda yang tidak diperkatakan.”

 

Kenyataan David berhubung kehidupan tokoh seniman negara itu, yang dianggap merempat, mendapat kecaman ramai dengan alasan ia seolah-olah menghina.

 

Namun, dalam kenyataannya semalam, ketua eksekutif Metrowealth Pictures (MiG) menafikan mengeluarkan kenyataan seumpama itu seperti dilaporkan ProjekMMO pada 7 Julai lalu.

 

“Saya dengan ini menafikan dan tidak pernah mengeluarkan kenyataan seperti yang tersebar sekarang di media,” katanya, yang berada di Beijing.

 

“Tidak juga terdetik sedikit pun untuk menidakkan apatah lagi menghina seniman agung Tan Sri P Ramlee dan karya-karya beliau.

 

“Saya yakin ini semua adalah salah faham dan salah tafsir pihak yang mendengar dan menulis artikel ini.”

 

Dalam laporan ProjekMMO Khamis lalu, David berkata MiG tidak hanya mahu melahirkan pelakon popular tetapi juga mampu menjamin pendapatan sehingga mereka tua.

 

Sebagai rekod, berikut transkrip temubual ringkas dengan David di sini pada 17 Jun lalu:

 

Wartawan: Adakah MiG dilihat seperti satu sekolah dan apabila pelakon sudah hebat mereka tinggalkan MiG dan MiG pun sudah tidak ada pelakon hebat?

 

David: Tidak ada perkataan tinggalkan MiG. Hanya apabila sudah dewasa, dia kena berdikari. Seperti Lisa Surihani sudah lima tahun, dia sendiri. Farid Kamil 11 tahun dengan saya kemudian sendiri.

 

Yana [Shamsuddin] 11 tahun. Shaheizy Sam lima tahun. Intan Ladyana masih sambung kontrak tahun keempat kali. Intan daripada Jangan Pandang Belakang sampai sekarang.

 

Setiap orang ada berbeza. Ada yang dia ingat mahu berdikari, saya OK, silakan.

 

Tetapi kalau pelakon baru disiplin tak betul akan dipercepatkan dalam satu tahun panggil dia keluar sebab kita nak mencipta bintang, bukan syok sendiri atau gila glamor tetapi tak boleh perform.

 

Saya lebih pada pengajaran sebagai seorang bintang, pantang larang, attitude yang baik dan jadi jutawan.

 

Wartawan: Maksudnya berlakon bawah MiG pun boleh jadi jutawan juga?

 

David: Ya. Kalau tak jadi jutawan jangan jadi pelakon. Buat apa? Gila glamor, buat apa? Kita kena kaya raya. Jangan seperti P Ramlee tinggal di tepi Bukit Bintang punya pub sana, dan anak dia pun kena kerja DBKL.

 

Kita rasa cara ini perbelanjaan kena di-control dengan hemat jimat. Kita tak boleh glamor punya time lupa diri, berlagak, berjoli.

 

Then after that dah tua tak ada duit, sampai generasi akan datang suffer. You punya kejayaan, nama ada tapi wang tak ada. So itu cara untuk artis saya. – MalayMail

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.