Cawangan Khas PDRM Pantau Akhbar Militan IS Bahasa Melayu – TPM

BAGAN DATOH – Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, Cawangan Khas Polis Diraja Malaysia (PDRM) kini memantau akhbar berbahasa Melayu terbitan militan IS yang kini boleh diperoleh melalui internet.

 

Timbalan Perdana Menteri berkata, setakat ini pihaknya masih belum memperoleh edisi bercetak penerbitan berkenaan tetapi sudah memperolehnya melalui internet.

 

“Kita dapat melayari internet yang memaparkan 20 muka surat akhbar berkenaan yang cuba disebarkan ke seluruh Asia Tenggara.

 

“Saya tahu tujuannya untuk mempengaruhi orang yang bersimpati bagi memberikan sokongan kepada IS. KDN melalui Cawangan Khas dan Bahagian Penerbitan turut memantau, jika terdapat mana-mana individu yang mencetak atau memuat turun bahan diperoleh daripada internet itu, kita akan menggunakan undang-undang melalui Akta Mesin Cetak dan akta lain untuk diambil tindakan,” katanya.

 

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Perayaan Hari Guru Peringkat Daerah Hilir Perak dan Sambutan Aidilfitri Pejabat Pendidikan Hilir Perak di Sekolah Menengah Sains Bagan Datoh, di sini, hari ini.

 

Sementara itu, Ahmad Zahid yang juga Menteri Dalam Negeri berkata, pihaknya akan membincangkan cadangan Setiausaha Majlis Keselamatan Negara (MKN), Datuk Seri Alias Ahmad untuk mengenakan visa terhadap pelancong dari Asia Barat yang datang ke negara ini.

 

Katanya, cadangan itu sedang diteliti dan pihaknya akan mendapatkan pandangan daripada jemaah menteri terutama daripada Menteri Pelancongan dan Kebudayaan kerana mereka mempunyai matlamat untuk menarik lebih ramai pelancong Asia Barat ke negara ini.

 

“Tetapi pada masa sama, kita tak boleh berkompromi dari segi keselamatan. Mungkin ada kaedah untuk tingkatkan kemasukan pelancong tetapi elemen keselamatan juga harus diberikan tekanan oleh PDRM, Imigresen dan KDN,” katanya. – BH

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.