Provokasi DAP Punca Tahaluf Siyasi Dengan PAS Terputus

KUALA LUMPUR – Pas dan DAP akhirnya ‘sah bercerai’ selepas Majlis Syura Ulama membuat ketetapan memutuskan hubungan tahaluf siyasi atau kerjasama politik yang terjalin dengan sekutunya itu di dalam pakatan pembangkang sejak 2008.

 

Setiausaha Majlis Syura Ulama, Datuk Dr. Nik Muhammad Zawawi Salleh berkata, keputusan tersebut berikutan tindakan DAP yang melakukan provokasi berterusan, perbuatan parti itu yang melanggar semangat kerjasama pakatan pembangkang serta campur tangan dalam akidah, dasar dan matlamat Pas.

 

Katanya, tahaluf siyasi dengan PKR bagaimanapun masih diteruskan dan keputusan itu diserahkan kepada Jawatankuasa Kerja Pas Pusat untuk dilaksanakan mengikut kesesuaian politik semasa.

 

“Pas terus istiqamah dengan prinsip Islam sebagai rahmat untuk semua yang menegakkan keadilan dan kesejahteraan semua kaum.

 

“Oleh itu, Pas meneruskan hubungan dengan semua pihak menerusi tahaluf siyasi bersama parti politik dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) bukan Islam, dalam masa sama, Pas tetap teguh berpegang dengan dasar-dasar Islam ketika berhubung dengan semua pihak,” katanya dalam kenyataan disiarkan laman web Pas hari ini.

 

Dewan Ulama Pas dalam Muktamar Tahunan Pas Ke-61 bulan lalu telah membawa usul supaya parti itu memutuskan hubungan dengan DAP yang diluluskan tanpa bahas, namun keputusan akhir terletak sepenuhnya kepada mesyuarat Majlis Syura Ulama terlebih dahulu.

 

Mursyidul Am Pas, Datuk Dr. Haron Din sebelum ini menegaskan, tahaluf siyasi Pas dengan parti-parti dalam pakatan pembangkang bukanlah bersifat kekal selama-lamanya selain menasihatkan semua ahli Pas agar patuh kepada setiap keputusan yang dibuat badan tertinggi parti itu.

 

Hubungan antara Pas dan DAP yang retak sejak penubuhan pakatan pembangkang semakin meruncing apabila Setiausaha Agung DAP yang belum disahkan jawatan, Lim Guan Eng pada Mac lalu menegaskan parti itu memutuskan hubungan dengan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang didakwa tidak bermaruah dan jujur berikutan tindakan Pas bertegas mahu melaksanakan hudud di Kelantan.

 

Sementara itu, Kerajaan DAP Pulau Pinang mula mengambil langkah drastik menghukum ahli Pas apabila memecat Setiausaha Pas negeri, Mohd. Fadzil Kemi daripada jawatan Pegawai Penerangan kepada Pejabat Ketua Menteri Pulau Pinang.

 

Tindakan itu juga dilihat sebagai tekanan berterusan DAP terhadap Pas selepas desakan Guan Eng supaya Pas mengarahkan ahli-ahlinya di Pulau Pinang meletakkan jawatan dalam kerajaan negeri tidak diendahkan. – UTUSAN

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.