Pertemuan Singkat Dalam Mimpi Ubati Kerinduan Ibu Mangsa Nahas MH17

APABILA insan disayang tiada lagi di dunia, pertemuan singkat dalam mimpi juga memadai untuk mengubat kerinduan.

 

Md Salim Sarmo, 67, bapa kepada Mohd Ali Md Salim, 31, yang terkorban dalam nahas pesawat Penerbangan Malaysia (MH17) jatuh ditembak setahun lalu, mengakui pernah bermimpi bertemu anaknya itu.

 

“Saya peluk dan cium dia. Walaupun sekadar mimpi, ia sedikit sebanyak meredakan rindu dan pilu. Kalau panas dan lapar saya boleh tahan tetapi air mata memang tidak boleh.

 

“Dalam mimpi itu, arwah hanya tersenyum tanpa berkata apa-apa. Saya peluk dan cium dia dari belakang kerana terlalu rindu,” katanya dengan nada sebak ketika ditemui BH di rumahnya di Kampung Jayor, Pagoh, Johor, di sini.

 

Mohd Ali adalah antara 298 mangsa nahas pesawat MH17 yang ditembak jatuh di timur Ukraine pada 17 Julai tahun lalu ketika dalam penerbangan dari Amsterdam, Belanda ke Kuala Lumpur.

 

Calon pensyarah Universiti Sains Malaysia (USM) itu mengikuti pengajian ijazah kedoktoran (PhD) dalam bidang Development Neuropsychopathology di Erasmus Universitiet Rotterdam, Belanda.

 

Jenazah Allahyarham dibawa pulang ke tanah air menerusi kumpulan pertama mangsa MH17 dan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Raja, Pagoh, pada 23 Ogos tahun lalu.

 

Md Salim kerap melihat mesej khidmat pesanan ringkas (SMS) kiriman Mohd Ali pada 13 Julai tahun lalu, beberapa hari sebelum tragedi menyayat hati itu.

 

“Bila teringatkan arwah, saya tengok balik SMS yang dihantar kepada seorang anak saya. Dia kata akan pulang berhari raya. Dalam suasana menjelang hari raya sekarang, saya bertambah sedih kerana arwah ceria dan pemurah orangnya. Biasanya suara dia riuh serumah dan adik-beradik serta saudara menantikan hadiah daripadanya,” katanya sambil menambah Mohd Ali amat mengambil berat terhadap keluarga.

 

Walaupun mempunyai lapan anak, Md Salim berkata, arwah agak berbeza kerana tidak lama hidup sebumbung dengan keluarga.

 

“Jika dihitung, kami hanya sempat hidup bersama hingga arwah berusia 13 tahun kerana sejak Tingkatan Satu, Mohd Ali tinggal di asrama dan hanya pulang ketika cuti semester.

 

“Dalam keluarga saya, hanya arwah dan adiknya yang bongsu bersekolah asrama, manakala yang lain menetap bersama keluarga. Itu sebabnya saya berasa tidak puas tinggal bersama dengannya kerana kehidupannya lebih banyak berjauhan untuk menimba ilmu,” katanya.

 

Md Salim mengakui kesedihan kerana kehilangan anak dalam keadaan tragik seperti itu sukar dihapuskan dan berharap masa akan menjadi pengubat kerinduan mereka sekeluarga.

 

Jika bapa merindui sebegitu rupa, apatah lagi ibu yang mengandung dan melahirkan. Baju kegemaran arwah menjadi pengubat rindu. Baju berwarna biru itu sering dicium Junaidah Basiron, 63, bagi menghilang kerinduan kepada anaknya itu.

 

“Ada banyak baju tetapi baju berwarna biru itu yang paling istimewa. Saya masih dapat mencium bau arwah yang masih melekat padanya.

 

“Itu antara barangan peribadi arwah yang ada selain beberapa pakaian milik arwah juga saya simpan dalam almari dan jika rindu, saya akan pegang dan cium pakaiannya,” katanya.

 

Beliau berkata, bagasi pakaian arwah yang ditemui di lokasi nahas kejadian yang diserahkan oleh Penerbangan Malaysia (MAS) turut menjadi pengubat rindu.

 

“Dalam bagasi itu, mengandungi beberapa helai pakaian milik arwah dan juga baju untuk kami sekeluarga. Itu yang menjadikan kami lebih sebak dan pilu setiap kali melihatnya.

 

“Sebelum ini, arwah pernah bercerita yang dia ada membeli dua utas jam tangan ketika berada di Switzerland untuk dihadiahkan kepada saya dan suami. Tetapi sayang kerana ia tidak ditemui di kawasan nahas terbabit,” katanya.

 

Kunjungan ke bekas rumah arwah di Rottedam, Belanda pada pertengahan September tahun lalu, lebih memilukan, kata Junaidah, apabila teringatkan kata-kata Mohd Ali untuk membawa mereka sekeluarga ke sana pada hari konvokesyennya, yang dijadualkan April lalu.

 

“Tidak dapat diungkapkan bagaimana sedihnya perasaan kami ketika mengemas barang milik arwah untuk dibawa pulang ke Malaysia. Lebih menyedihkan apabila melihat meja kesayangan arwah yang bersusun rapi yang digunakan untuk mengulangkaji pelajaran.

 

“Kami sekeluarga turut dibawa ke universiti di mana arwah menuntut. Semua pensyarah di sana turut meletakkan foto arwah di setiap meja masing-masing, selain turut diabadikan di beberapa kawasan di sekitar kampus,” katanya yang turut mendengar cerita mengenai kehidupan arwah daripada pensyarah dan kenalan sepanjang di perantauan.

 

Sehingga kini, hampir setiap minggu pada petang Khamis dan Jumaat, Junaidah dan suami, menziarahi kubur arwah.

 

“Arwah seorang yang amat sukakan bunga dan mungkin sebab itu, beberapa pokok bunga turut tumbuh berdekatan pusara arwah. Setiap kali ke pusara anak saya, saya berasa seolah-olah pergi melawat rumahnya dan bukan ke kubur arwah,” katanya. – BHarian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.