Kerajaan Agih RM27.5 Juta Bantuan Wang Ihsan Kepada Petani, Penternak

PASIR SALAK – Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani memperuntukkan wang ihsan berjumlah RM27.5 juta di bawah Tabung Bantuan Bencana Banjir Agromakanan kepada 17,294 petani, penternak dan pengusaha akuakultur di seluruh negara yang terjejas akibat banjir tahun lepas.

 

Timbalan Menterinya, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman berkata, wang ihsan itu bagi mengurangkan beban usahawan tani dalam usaha memulih dan meneruskan aktiviti pertanian mereka.

 

“Di Perak, sejumlah RM1.39 juta diperuntuk membabitkan 1,073 petani, penternak dan pengusaha akuakultur,” katanya kepada pemberita selepas majlis penyerahan wang ihsan berkenaan di Dewan Orang Ramai Changkat Lada hari ini.

 

Beliau berkata bagi bantuan input pertanian pula dikendali oleh Jabatan Pertanian dan Jabatan Perikanan di daerah masing-masing.

 

“Sebagai contoh, di Perak seramai 115 pengusaha akuakultur menerima bantuan input seperti benih dan makanan ikan yang berjumlah RM172,500,” katanya.

 

Tajuddin berkata kementerian berharap bantuan itu sedikit sebanyak dapat menampung dan meringankan beban petani.

 

“Di samping itu, pelanggan Agrobank diberikan moratorium iaitu penangguhan pembayaran balik pembiayaan sehingga enam bulan kerana terlibat dengan banjir serta penjadualan dan penstrukturan semula pembiayaan dan juga pembiayaan tambahan,” katanya.

 

Dalam pada itu, kerajaan memperuntuk sejumlah RM50 juta bagi pembaikan infrastruktur pertanian yang rosak atau musnah akibat bencana itu.

 

Terdahulu, Tajuddin yang juga Anggota Parlimen Pasir Salak menyerahkan zakat dan sumbangan raya daripada Padiberas Nasional Berhad (Bernas) kepada 100 penerima terdiri daripada golongan asnaf.

 

“Bernas memperuntuk sebanyak RM20,000 untuk sumbangan zakat bagi tahun ini. Setiap orang memperoleh RM200 iaitu RM100 untuk zakat dan RM100 sumbangan raya serta sedikit sumbangan kepada 10 orang warga emas,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan penutupan Program Karisma Ramadan anjuran Majlis Pembangunan Wanita dan Keluarga (MPWK) Parlimen Pasir Salak.  – Bernama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.