Saya Harap TPPA Akan Ditolak 100% – Tun Dr Mahathir

Shah Alam – Mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad hari ini mengkritik Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak di atas pendiriannya untuk menandatangani Perjanjian Perkongsian Trans Pasifik (TPPA).

Dr Mahathir, dengan sinis berkata seorang pemimpin yang kuat dan berani tidak akan tunduk kepada tekanan dan desakan kuasa luar.

“Saya setuju dengan Najib bahawa kita perlu pemimpin yang kuat. Tetapi apakah ciri-ciri pemimpin yang kuat?

“Seorang pemimpin yang kuat akan tunjuk kekuatan apabila diuji. Jika kuat, pemimpin itu akan menangkis serangan bertubi-tubi dari dalam dan luar.

“Apabila pemimpin itu tewas menangani serangan tersebut, maka, kita tidak boleh percaya bahawa pemimpin itu kuat,” kata Dr Mahathir semasa melancarkan buku bertajuk “TPPA: Malaysia is not for sale” di sini.

Dr Mahathir berkata seorang pemimpin yang kuat harus sama sekali menolak TPPA kerana ia tidak akan mendatangkan manfaat.

“TPPA ini ganjil kerana rundingan dibuat secara rahsia. Kerajaan merahsiakannya daripada rakyat.

“Saya harap TPPA akan ditolak 100%,” katanya sambil menambah bahawa TPPA adalah antara usaha pihak luar untuk menguasai Malaysia.

Sebelum ini, Najib pernah berkata sekiranya Malaysia tidak menyertai TPPA, negara akan kerugian besar memandangkan Malaysia sebuah negara berorientasikan eksport yang membentuk sebahagian daripada rejim perdagangan bebas global.

Walaupun mendapat tentangan dari pelbagai pihak, Najib juga menambah bahawa TPPA hanya akan ditandatangani sekiranya ia mengikut ‘terma kita’.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.