Ketua Kampung Arah Rogol Gadis 14 Tahun

Jharkhand – Atas arahan ketua kampung, seorang remaja dirogol untuk membalas dendam perbuatan abangnya yang didakwa cuba mencabul jiran wanita, di Swang, daerah Bokaro Jharkhand.

Ketua kampung yang juga bapa wanita yang didakwa hampir dicabul, mengarahkan menantu lelaki Nakabandi Pasi untuk merogol gadis berusia 14 tahun itu.

Bapa remaja mendakwa, Nakabandi meminta kebenaran bapa mentuanya Ghosal untuk merogol mangsa, lapor Indian Express.

Namun isteri Nakabandi, Asha Devi tidak mengaku bersubahat dalam insiden itu dan mendakwa dia tiada di kampung pada Isnin. Ini bertentangan dengan penduduk kampung yang dikatakan menyokong bapa mangsa dan mendakwa Ghosal memberi kebenaran menantunya merogol mangsa.

“Seluruh penduduk kampung melihat gadis itu diseret ke suatu tempat, kira-kira 500 meter dari rumah Nakabandi. Tidak seorang pun termasuk saya, berani masuk campur kerana ‘mukhiya’ seorang yang berbahaya,” kata penduduk kampung Sulochana Devi.

Pihak polis menahan Nakabandi, ketua kampung dan abang mangsa pada Jumaat, namun mereka belum didakwa lagi. Ketiga-tiga mereka masih disoal siasat dan siasatan masih dijalankan.

“Rogol ini dibuat sebagai membalas dendam, sehari sebelum pada 6 Julai, isteri Nakabandi mendakwa dia menjadi mangsa perbuatan tidak senonoh abang mangsa. Ketua kampung memulakan provokasi merogol mangsa,” lapor BBC yang memetik kata-kata Ketua Polis, Rajiv Kumar.

Isteri Nakabandi mengaku gadis itu dirogol kerana abangnya cuba mencabul kehormatannya di rumah pada malam sebelumnya ketika suaminya Nakabandi tidur di luar.

“Abang mangsa datang ke rumah saya tengah malam pada 6 Julai dan cuba merogol saya. Dia secara paksa mahu membuka pakaian saya. Dia membawa pisau.

“Lelaki itu melarikan diri apabila saya menjerit. Saya beritahu suami saya apa yang berlaku. Keesokan harinya ketika gadis itu berjalan ke arah kampung untuk mengambil air, suami saya menahannya dan membawa dia ke hutan lalu merogolnya,” kata wanita itu kepada IE.

Ketika insiden berlaku, bapa gadis itu keluar bekerja. Gadis itu dibawa ke Hospital Sub-Divisyen Tenughat di mana dia mendawat rawatan dan dibenarkan pulang pada hari yang sama, tetapi terpaksa dimasukkan kembali ke hospital pada Rabu kerana berlaku pendarahan.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.