Pelajar tingkatan 5 disyaki bunuh ibu, abang sulung dipercayai akibat tekanan dipaksa belajar

- Advertisement -

KUALA LUMPUR – Polis menahan seorang pelajar Tingkatan Lima selepas disyaki membunuh ibu dan abang sulungnya di kediaman mereka di Taman Rambai Mutiara, Bukit Rambai Melaka pagi tadi.

Dalam kejadian kira-kira pukul 5 pagi itu, mangsa yang merupakan ibu tunggal berusia 51 tahun dan anak lelaki berusia 21 tahun ditemui di ruang tamu rumah dengan beberapa kesan tikaman.

Ketua Polis Melaka Datuk Dzulkhairi Mukhtar berkata, seorang lagi mangsa iaitu adik bongsu suspek berusia 13 tahun ditemui dalam keadaan berlumuran darah di garaj rumah setingkat itu.

“Mangsa wanita merupakan seorang guru Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) dan mempunyai tiga orang anak yang mana suspek merupakan anak keduanya.

“Anak sulungnya yang turut terbunuh dalam kejadian ini merupakan pelajar sebuah kolej di Melaka dan anak bongsunya yang cedera dan kini dirawat di Hospital Melaka,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) pada Khamis, lapor Astro Awani di Melaka.

Mengulas lanjut katanya, siasatan awal mendapati motif kejadian dipercayai akibat tekanan perasaan dan dendam dialami suspek kerana sering dipaksa belajar untuk mendapatkan keputusan cemerlang.

“Mungkin ibunya seorang guru dan dia nak anaknya dapat keputusan yang terbaik kerana suspek ini akan mengambil Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) pada tahun ini.
“Jadi dia mungkin selalu dimarahi supaya untuk belajar lebih tekun lagi dan jiran-jiran juga maklumkan sering dengar pergaduhan di rumah itu,” ujarnya.

Tambahnya, dalam kejadian itu, suspek dipercayai cuba menyerang ibunya yang berada di dalam bilik tidur rumah sebelum abang mangsa cuba menyelamatkan ibu mereka.

“Pergelutan itu menyebabkan kedua-dua mereka maut ditikam manakala suspek dikatakan telah mengarahkan adik bongsunya keluar daripada rumah, namun remaja itu enggan berbuat demikian sebelum dia turut ditikam.

“Mungkin dia tidak ada apa-apa masalah dengan adik dia… dan dia telah minta adik dia keluar rumah, tapi adiknya tak nak pergi… dan dia cuba bunuh adiknya itu.
“Adiknya kemudian sempat lari keluar dari rumah dalam keadaan berlumuran darah sebelum berjaya diselamatkan,” tambahnya.

Mengulas lanjut, Dzulkhairi berkata, suspek juga cuba menghapuskan barang bukti iaitu pakaian yang dipakai dengan membuangnya ke semak berhampiran. Katanya, polis menemui pisau lipat yang dipercayai digunakan dalam beg sekolah suspek di garaj rumah.

Kes disiasat dibawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan mangsa yang maut dihantar ke Jabatan Perubatan Forensik Hospital Melaka.

Katanya, suspek setakat ini tidak berada di bawah pengaruh dadah dan alkohol dan akan dibawa ke Mahkamah Ayer Keroh esok untuk mendapatkan permohonan reman.

author avatar
Janatul Firdaus Yaacob
-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat