Malaysia, AS setuju kepentingan gencatan senjata di Gaza untuk keberkesanan bantuan kemanusiaan

- Advertisement -

PUTRAJAYA – Malaysia dan Amerika Syarikat (AS) bersetuju bahawa gencatan senjata adalah penting supaya sebarang penghantaran bantuan kemanusiaan ke Gaza dapat dilakukan secara berkesan, menurut kenyataan dikeluarkan Kementerian Luar (Wisma Putra), pada Rabu.

Persetujuan itu dicapai semasa pertemuan antara Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan dengan Setiausaha Negara AS Antony Blinken di luar Persidangan Peringat Tinggi: “Panggilan Untuk Bertindak: Respons Kemanusiaan Segera untuk Gaza” di Jordan.

Blinken juga telah menzahirkan sokongan Amerika Syarikat ke atas Kepusatan ASEAN dan penghargaan kepada Malaysia menyokong resolusi diusulkan Amerika Syarikat, yang diluluskan Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada 10 Jun 2024.

Mohamad berada di Jordan mengetuai delegasi Malaysia ke persidangan peringkat tinggi itu yang berlangsung di Pusat Konvensyen King Hussein bin Talal, Laut Mati, Jordan, pada 11 Jun.

Persidangan Peringkat Tinggi ini telah dianjurkan oleh Jordan, Mesir dan (PBB) untuk menggembleng sokongan masyarakat antarabangsa bagi meningkatkan bantuan kemanusiaan ke Gaza.

Sebanyak 75 perwakilan terdiri daripada Ketua-Ketua Negara/ Kerajaan dan Menteri, Agensi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, Pertubuhan-Pertubuhan Antarabangsa dan pihak berkepentingan telah menyertai persidangan itu.

Semasa persidangan itu, Mohamad mengalu-alukan Resolusi Majlis Keselamatan PBB 2735 (2024), yang antara lain, menyeru untuk gencatan senjata segera, kekal dan berkesan, menggesa penyaluran bantuan kemanusiaan dengan segera dan tanpa halangan, serta pembinaan semula Gaza.

Beliau juga telah menekankan agar semua pihak menyokong usaha-usaha ke arah mencapai penyelesaian damai dengan menangani punca utama konflik, iaitu pendudukan haram dan kezaliman Israel; mensabitkan akauntabiliti melalui pendekatan “reparative” ke atas Israel dan memperkasakan usaha-usaha penyampaian bantuan kemanusiaan PBB. – Bernama

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat