Balai Seni Negara Langkawi kini dibuka semula kepada pengunjung

- Advertisement -

Oleh: Zihan Zari

LANGKAWI – Balai Seni Negara Langkawi kini dibuka semula kepada orang ramai selepas ditutup selama enam bulan berikutan kerja-kerja menaiktaraf dan pengubahsuaian galerinya.

Menerusi kenyataan yang dikeluarkan oleh Balai Seni Negara berkata, ianya mula dibuka berkuat kuasa 8 Jun lalu, setiap hari bermula jam 9.00 pagi hingga 5.00 petang.

Menurutnya perasmian pembukaannya semula telah disempurnakan oleh Pengerusi Lembaga Pembangunan Seni Visual Negara (LPSVN), Shaik Rizal Sulaiman pada Sabtu.

Turut hadir, Ketua Pengarah Balai Seni Negara, Amerrudin Ahmad; Timbalan Ketua Pengarah (Pengurusan) Balai Seni Negara, Alizam Hasan dan Pengarah Balai Seni Negara Langkawi, Muhammad Hazrin Abdul Malek @ Moktar.

Katanya, kerja-kerja menaiktaraf dan pengubahsuaian melibatkan gabungan daripada tiga lot kepada lima lot bangunan komersial merangkumi penambahan fasiliti dan kemudahan baharu.

Antaranya, Kedai Cenderamata (NAG Shop) yang menghimpunkan produk hasil kreatif autentik dari Pulau Langkawi, Pusat Rujukan Seni, Bilik Multimedia, Auditorium Mini dan kemudahan laluan OKU.

Turut dinaik taraf, Studio Seni dan Studio Seni Cetak bagi pelaksanaan bengkel serta program pendidikan.

Menurutnya, pameran utama di sini adalah pameran ‘Gambar Bergambar Gambaran’ yang menghimpunkan foto-foto acara pelbagai program seni serta bengkel seni yang diadakan di Pulau Langkawi.

Pameran ‘Community Based Tourism: Arca Dasar Laut Pulau Langkawi’ turut dipamerkan di Aras 1, di sini.

Katanya lagi, orang ramai turut dapat menelusuri proses kerja sembilan orang seniman yang dijalankan di Pengkalan Jeti Kubang Badak bagi menghasilkan arca dasar laut yang terletak di Pulau Pasir.

Di samping itu, pameran ‘Karya Pendidikan Seni Visual Negara’ menampilkan empat buah karya seni cetak daripada buku Pendidikan Seni Visual bagi memberi kefahaman yang mendalam seiring dengan praktis yang boleh dilaksanakan dengan adanya kemudahan studio seni cetak.

Selain ruangan pameran, ruangan khas iaitu “Curiosity Cabinet” mempamerkan hasil karya pelukis Tajalli Abdullah dan himpunan arca kayu yang dihasilkannya daripada alam semula jadi melalui pameran ‘The Whispers of Wood’.

“Balai Seni Negara Langkawi sentiasa cakna dalam memupuk kesedaran, pemahaman serta penghayatan masyarakat terhadap seni menerusi aktiviti re-skilling dan up-skilling.

“Sempena pembukaannya juga, beberapa bengkel seni telah dianjurkan selama dua hari bermula pada 7 Jun lalu.

“Antaranya, Bengkel Seni Cetakan Kayu, Kolograf dan Demonstrasi Cat Air Landskap Langkawi yang melibatkan tiga artis tempatan iaitu Long Thien Shih, Helmi Azam Tajul Aris dan Rohizad Shaari,” katanya lagi.

Dalam pada itu, turut disertakan acara Penyerahan Geran Tabung Bantuan Seni (TBS) 2024 kepada lima penerima melibatkan dana berjumlah RM 78,000.

Ujarnya, TBS diwujudkan sebagai salah satu usaha untuk membantu penggiat seni tempatan dalam penganjuran program dan aktiviti kesenian yang berkualiti sekaligus memberi impak kepada ekosistem seni tanah air.

Bermula Januari sehingga Mei lalu , sebanyak RM 300,700 dana telah disalurkan kepada 18 penerima menerusi TBS.

“Balai Seni Negara sentiasa komited dalam mengangkat dan memperkasakan seni agar terus berkembang di pulau lagenda ini selari dengan hasrat untuk menjayakan kempen Tahun Melawat Kedah 2025 (TMK2025) dan Tahun Melawat Malaysia 2026 (TMM 2026),” menurut kenyataan itu lagi – Suara.TV

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat