Kanak-Kanak Maut Dalam Pertembungan Dua Jet Ski

GEORGETOWN – Seorang kanak-kanak maut selepas jet ski dinaikinya bersama seorang pengawal pantai bertembung dengan sebuah jet ski yang dipandu ibunya di pantai Batu Feringghi, malam Isnin.

Dalam kejadian pukul 7.30 malam itu, Jordan Phang Wen Jie, 9 disahkan meninggal dunia selepas pertembungan itu di pantai belakang sebuah hotel lima bintang di sini.

Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Anuar Omar berkata, kemalangan maut melibatkan dua buah jet ski itu berlaku di pantai belakang Hotel Hard Rock.

Menurutnya, mangsa dan keluarganya dari Petaling Jaya, Selangor datang ke negeri ini untuk bercuti sejak kelmarin dan dijadualkan mendaftar keluar dari hotel pada 13 Jun.

“Maklumat awal mendapati, keluarga mangsa menyewa dua buah jet ski yang mana, satu dipandu ibu mangsa berseorangan manakala satu lagi, dinaiki mangsa yang dipandu oleh budak pantai. Kesemua mereka memakai jaket keselamatan ketika kejadian.

“Bagaimanapun, jet ski yang dibonceng mangsa hilang kawalan selepas ditiup angin kencang lalu meluncur laju melanggar dan bergesel dengan jet ski yang dipandu oleh ibu mangsa. Ia menyebabkan mangsa terjatuh ke dalam laut,” katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Tambahnya, mangsa yang tidak sedarkan diri dibawa keluarganya ke kolam renang hotel tersebut untuk tujuan menyelamat.

“Mangsa yang mengalami kecederaan di bahagian muka diberi bantuan pernafasan oleh keluarganya namun dia masih tidak sedarkan diri. Mereka kemudiannya menghubungi ambulans dan sebaik pegawai perubatan tiba, mangsa disahkan sudah meninggal dunia.

“Mayat mangsa dibawa ke Jabatan Forensik Hospital Pulau Pinang (HPP) untuk bedah siasat. Hasil bedah siasat, mangsa meninggal dunia akibat kecederaan teruk pada otak dan beberapa bahagian badan akibat rempuhan benda tumpul,” katanya. – Sinar

One thought on “Kanak-Kanak Maut Dalam Pertembungan Dua Jet Ski

  • June 13, 2018 at 5:12 pm
    Permalink

    SEDIH PILU BILA TERBACA INSIDEN INI YG MEMYEBABKAN HILANG NYAWA KANAK 2 INI…SEMOGA FAMILI TABAH DUGAAN INI….

    Reply

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.