BN Berlapang Dada Dengan Keputusan PBB dan Tiga Parti Sarawak

KUALA LUMPUR – Barisan Nasional (BN) mengakui amat berat hati untuk menerima keputusan parti-parti komponen BN di Sarawak untuk tidak lagi menganggotai gagasan itu meskipun mencapai kejayaan besar pada Pilihan Raya Negeri lalu.

Bagaimanapun BN tetap berlapang dada dan percaya keputusan itu dibuat setelah difikirkan dengan mendalam berdasarkan keutamaan kepentingan negeri dan rakyat Sarawak dalam kedudukan situasi politik semasa tanah air.

Berikut merupakan kenyataan penuh Pengerusi Biro Media dan Komunikasi BN, Tan Sri Annuar Musa.

1. Merujuk kepada perkembangan terbaru Barisan Nasional (BN) Sarawak hari ini, BN Pusat amat memahami keputusan itu kerana ia sejajar dengan keperluan menangani situasi politik di negeri itu.

2. Justru, BN Pusat cukup berlapang dada walaupun berat hati untuk menerima keputusan parti-parti politik di negeri itu untuk tidak lagi menganggotai BN yang mencapai kejayaan besar pada PRN Sarawak 2016. BN menang 72 daripada 82 kerusi yang dipertandingkan.

3. BN Pusat amat memahami kedudukan dan pendirian yang diambil oleh parti parti komponen BN Sarawak untuk membentuk satu gagasan baru yang dinamakan GABUNGAN PARTI SARAWAK(GPS).

4. Sesungguhnya bibit-bibit awal kepada cadangan komponen BN Sarawak membuat penjajaran lanskap politik baru pada hari ini sebetulnya adalah dalam pengetahuan kita.

5. BN Pusat percaya keputusan politik yang pragmatik itu dibuat setelah difikirkan dengan mendalam berdasarkan keutamaan kepentingan negeri dan rakyat Sarawak dalam kedudukan situasi politik semasa tanah air.

6. BN Pusat akan terus menjalinkan hubungan yang baik dengan semua parti politik dalam negara lebih lebih lagi parti-parti yang mendukung prinsip perjuangan yang sama walaupun berada dalam gagasan yang berbeza.

7. BN mengucapkan terima kasih kepada semua pimpinan dan parti komponen BN SARAWAK atas segala kerjasama dan kesepakatan sepanjang perjuangan bersama .

8. Ucapan jutaan terima kasih kepada seluruh rakyat Sarawak yang selama ini memberikan kepercayaan yang tidak berbelah-bahagi kepada Kerajaan BN.

9. BN Pusat mengucapkan selamat maju jaya kepada GPS dalam meneruskan perjuangan demi kepentingan rakyat dan Negeri Sarawak. Hubungan baik antara BN dengan parti-parti di bawah GPS selama ini sudah pasti diteruskan agar BN tidak kehilangan rakan yang sangat akrab sebelum ini. – UTUSAN

One thought on “BN Berlapang Dada Dengan Keputusan PBB dan Tiga Parti Sarawak

  • June 14, 2018 at 5:35 pm
    Permalink

    salam sejahtera…baguslah kalau berlapang dada meratapi kekalahan….. jangan dipersalahkan orang lain sebab kalah…salah diri sendiri ya tak? kami pun berlapang dada berani memilih PH … usahlah bersedih hati … jangan kepuh sana kepuh sini, caci kritik tak habis2…. ini masanya bina negara ini dengan terbaik dan telus amanah bertanggunjawab..usah diganggu PH tadbir negara ini bukannya mudah untuk bersihkan semua masaalah parti dulu. nak pertahankan pingat emas bukannya mudah.. nak merampas nampak agak senang… kalau pijak rumput dibumi ,jangan lupa langit yang dijunjung. yang dibawah bolih naik atas ,dan yang diatas bolih turun bawah. ayuh lah Tun M dan kabinet PH pacu malaysia dengan lebih dedikasi ,berwibawa , jujur ,ikhlas ,telus bertanggungjawab adil saksama untuk rakyat Malaysia.

    Reply

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.