Profesor Makan Buku

London – Seorang pakar politik mengotakan janjinya apabila memakan buku yang ditulisnya mengenai pengunduran Britain dari Kesatuan Eropah atau Brexit selepas pertaruhannya mengenai pencapaian Parti Buruh pada pilihan raya Britain Khamis lalu terbukti salah.

Tindakannya itu disiarkan secara langsung menerusi televisyen.

Matthew Goodwin dari Universiti Kent sebelum ini berikrar akan memakan bukunya dengan ‘gembira’ sekiranya Parti Buruh pimpinan Jeremy Corbyn meraih 38 peratus atau lebih undi.

Ramalan itu menghantuinya apabila parti itu memenangi 40 peratus undi.

Sebaik keputusan keseluruhan diketahui dan menunjukkan pencapaian Parti Buruh itu jauh lebih baik daripada yang dia jangka, Goodwin bertindak pantas untuk mengumumkan hasratnya mengotakan apa yang diikrarkannya menerusi Twitter, lapor Metro.

Sehubungan itu, Stesen televisyen Sky News semalam menyiarkan secara langsung tindakan 
Corbyn memakan bukunya selepas mendapat kebenaran terhadap keselamatan perbuatan itu.

Sebelum mula melakukannya, Goodwin berkata: “Saya terkejut Jeremy Corbyn boleh menambah dua peratus mata lagi. Memang saya berkata saya akan memakan buku ini. Dua peratus memang perbezaan ketara.

“Saya lelaki yang mengotakan apa yang saya cakapkan. Apa yang akan saya lakukan ialah duduk di sini dan memakan buku ini, sementara anda teruskan kerja anda,” katanya.

Dalam pada itu, ahli akademik itu kemudian memuat naik gambarnya memakan buku itu dengan kapsyen: “Jangan kata saya tidak tunai janji.”

Goodwin menulis buku ‘Brexit: Why Britain Voted to Leave the European Union’ bersama rakan akademik, Harold D Clarke dan Paul Whiteley.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.