Pernah Terfikir Mahu Bunuh Diri

Penyanyi antarabangsa, Katy Perry mendedahkan beliau pernah terfikir untuk  membunuh diri ketika mengadakan sesi terapi bersama pakar psikologi terkenal Dr Siri Sat Nam Singh, baru-baru ini.

Sesi terapi itu disaksikan secara langsung menerusi YouTube dan Katy, 32, kelihatan beremosi sehingga menangis sepanjang berkongsi kisah peribadinya dengan pakar itu.

Penyanyi yang popular dengan lagu Chain To The Rhythm ini turut menceritakan masalah hubungan dengan ibu bapanya dan cabaran berhenti minum alkohol.

“Pernah terlintas dalam fikiran untuk bunuh diri suatu ketika dulu. Saya turut menulis lagu mengenainya.

“Saya berasa malu kerana pernah mempunyai fikiran seperti itu. Ia membuatkan saya kurang keyakinan diri dan tertekan,” katanya.

Perbualan itu berakhir dengan Katy memilih sekeping kad yang memaparkan perkataan ‘bebas’ dari sebuah mangkuk.

Sebaik membaca perkataan itu, Katy sekali lagi menangis dan mengucapkan terima kasih kepada pakar terbabit.

Siaran langsung itu bertujuan untuk mempromosi album barunya berjudul Witness dan program berkenaan bersiaran 24 jam di YouTube selama empat hari sejak Khamis lalu.

Rakaman itu berlangsung dari ibu pejabat Witness Worldwide dan peminat boleh menyaksikan aktiviti seharian Katy seperti melakukan yoga termasuk waktu tidur.

Turut menemani Katy di kediaman itu adalah pembantu peribadinya, jurusolek serta haiwan peliharaannya.

Beberapa orang selebriti turut muncul dalam siaran langsung berkenaan antaranya Cef Gordon Ramsey dalam sesi memasak.

Selesai rakaman itu, Katy akan mengadakan persembahan percuma untuk 1,000 peminat bertuah.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.