Pemuda BN Sarawak Bidas Nazri Gelar Menteri Sarawak `Setahun Jagung’

Pemuda Barisan Nasional (BN) Sarawak hari ini mengecam kenyataan yang dibuat oleh Menteri Pelancongan dan Kebudayaan, Datuk Seri Nazri Abdul Aziz terhadap Menteri Pelancongan, Kesenian, Kebudayaan, Belia dan Sukan Sarawak, Datuk Karim Abdul Rahman Hamzah yang dianggap kasar dan tidak melambangkan semangat kekeluargaan dalam BN.

Menurut Pengerusi Pemuda BN Sarawak merangkap Ketua Pemuda PBB, Datuk Seri Fadillah Yusof, tindakan Nazri yang melabelkan Menteri Sarawak itu sebagai setahun jagung dan masih budak lagi adalah satu penghinaan.

“Sebagai sebuah keluarga besar dalam BN apa juga isu terutama menyentuh sensitiviti rakyat di mana-mana peringkat, seharusnya ditangani secara musyawarah dalam semangat BN dan bukannya menerusi kenyataan umum atau menerusi hebahan media, kerana ia boleh mencetuskan kemarahan nitizen.

“Jika ada isu-isu yg hendak dijelaskan, ia harus dilakukan secara baik dan berhemah dan bukannya dengan memperlekehkan sesama pemimpin dalam parti komponen yang sama,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

Semalam, Nazri telah menggelar Abdul Karim sebagai menteri ‘setahun jagung’ susulan gesaan beliau agar kerajaan persekutuan menangguhkan pelaksanaan cukai pelancongan yang bakal berkuatkuasa 1 Ogos depan.

Fadillah berkata, Pemuda BN Sarawak berpendirian semangat saling menghormati dan permuafakatan antara pemimpin dalam parti komponen harus diutamakan dengan sebarang perbezaan pendapat mestilah diselesaikan dalam saluran parti yang harmoni.

“ Kita boleh berbincang, berbeza pendapat dan seterusnya mengambil kesempatan itu untuk bermuafakat bagi mendapatkan penyelesaian terbaik kepada semua perkara.

“Tindakan melabelkan sesama kita sebagai ‘samseng’ juga tidak wajar sama sekali kerana ia bukan sahaja satu penghinaan kepada individu terbabit malah boleh menjejaskan imej parti, apa lagi samseng bukanlah budaya dalam BN, apatah lagi dalam PBB,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.