Pelajar Malaysia Berpeluang Jalani Latihan Industri Di Indonesia

JAKARTA – Mahasiswa Malaysia kini berpeluang menjalani latihan industri dengan syarikat terkemuka di Indonesia susulan memorandum persefahaman (MoU) yang dimeterai antara Talent Corporation Malaysia Berhad (TalentCorp Malaysia) dan Kamar Dagang dan Industri Indonesia (KADIN) hari ini.

Ketua Eksekutif TalentCorp Malaysia, Shareen Shariza Abdul Ghani berkata, MoU itu dimeterai di bawah program ”Latihan Amali MyASEAN” sebagai sebahagian usaha berterusan untuk meningkatkan kesedaran belia Malaysia dan Indonesia mengenai Komuniti Ekonomi ASEAN.

“Program ini direka bentuk untuk menggalakkan mobiliti modal insan di ASEAN di peringkat universiti dan ia membolehkan mahasiswa dari Malaysia menyertai syarikat-syarikat di Indonesia kerana mobiliti modal insan adalah komponen penting dalam tenaga kerja moden,” katanya selepas majlis menandatangani MoU itu.

Pemeteraian MoU antara Shareen Shariza selaku wakil TalentCorp Malaysia dan Naib Pengerusi KADIN, Shinta Widjaja Kamdani itu disaksikan oleh Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Malaysia, Datuk Seri Mustapa Mohamed; Menteri Perkampungan, Wilayah Terpinggir dan Transmigrasi, Eko Putro Sandjojo serta Duta Besar Malaysia ke Indonesia, Datuk Seri Zahrain Mohamed Hashim.

Mengulas lanjut, Shareen Shariza berkata, untuk permulaan, program itu disertai 30 syarikat Indonesia. – Bernama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.