Krisis Diplomatik Qatar Tidak Jejas Piala Dunia 2022 – FIFA

ZURICH – Presiden Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA), Gianni Infantino yakin krisis diplomatik yang melanda Qatar tidak akan menjejaskan negara itu menjadi tuan rumah Piala Dunia 2022.

Badan bola sepak sedunia itu juga mengesahkan pihaknya telah menggantikan pasukan pengadil Qatar yang sepatutnya mengadili perlawanan kelayakan Piala dunia melibatkan Emiriyah Arab Bersatu (UAE) pada Selasa lalu.

Dalam satu temubual yang disiarkan akhbar Switzerland, Le Matin Dimanche dan Sonntagszeitung, Infantino berkata, dia menjangkakan situasi diplomatik akan kembali normal menjelang perlawanan piala dunia dalam lima setengah tahun lagi.

Lima negara teluk Arab iaitu Arab Saudi, UAE, Mesir dan Bahrain memutuskan segala hubungan dengan Qatar Isnin lalu dengan mendakwa Doha menggalakkan keganasan.

Bagaimanapun, Qatar menafikan segala dakwaan yang dibuat oleh keempat-empat negara arab itu.

Ditanya sama ada penganjuran temasya kali ini oleh Qatar boleh mengundang risiko bahaya, Infantino berkata:” tidak sama sekali, saya bukan dalam kedudukan untuk spekulasikan keadaan semasa di Qatar.

“FIFA secara dekat sedang memantau situasi dan sentiasa berhubung dengan pihak berkuasa Qatar untuk mendapatkan perkembangan terbaharu.

“Peranan FIFA pada pemahaman saya ialah menguruskan hal ehwal bola sepak sahaja dan bukannya mencampuri urusan geopolitik.

“Kita berdepan dengan krisis diplomatik, tetapi di sebelah lagi saya yakin rantau itu akan kembali kepada keadaan asal seperti sebelum ini.

“Piala dunia akan berlangsung pada tahun 2022. jika bola sepak boleh membuat sedikit sumbangan dalam apa jua cara pun, saya bersedia untuk membantu,” katanya.

FIFA dalam satu kenyataan mengesahkan bahawa perlawanan UAE bertemu Thailand pada Selasa tidak akan diadili oleh pegawai Qatar.

FIFA dalam satu kenyataannya mengesahkan pihaknya telah menggantikan pengadil perlawanan untuk perlawanan itu atas alasan sukan dan situasi semasa geopolitik.

FIFA menambah bahawa Persekutuan UAE dalam akaun twitternya menjelaskan pengadil perlawanan antara UAE dan Thailand adalah Muhammad Taqi dari Singapura.- MalaysiaGazette

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.