Kambing Rentung 12 Ekor

SUNGAI PETANI – Seorang penternak kerugian hampir RM50,000 apabila kandang miliknya hangus terbakar menyebabkan 12 ekor kambing peliharaannya rentung dalam kebakaran dekat Kampung Pengkalan Lebai Man, kelmarin.

Shabri Mahmood, 54, berkata, dia hanya menyedari kejadian itu petang kelmarin apabila dimaklumkan sebelum berbuka puasa.

Menurutnya, sebaik tiba di lokasi kejadian, dia terkejut mendapati 12 daripada 17 haiwan peliharaannya itu terperangkap dan hangus terbakar.

“Hanya empat saja yang tinggal dan berjaya keluar dari kandang, seekor lagi selamat disembelih,” katanya, lappr Sinar.

Shabri berkata, dia tidak menyangka kejadian itu berlaku kerana sebelum itu keadaan baik sahaja.

“Bila sampai saja kandang, saya tengok bangkai sana sini termasuk empat ekor ibu, seekor bapa dan selebihnya anak kambing yang belum matang.

“Yang kecil-kecil ini saya letakkan dalam ruang asing. Sebab itu mereka tak dapat keluar selamatkan diri macam yang besar,” katanya.

Katanya, kandang itu sudah lebih 30 tahun berada di kawasan berkenaan dan diusahakannya sejak sekian lama.

“Kambing saya antara baka yang berkualiti termasuk dari spesis Boer, Jamnapari dan Thurdbird.

“Sebab itu saya sedih sangat sebab hari-hari saya tengok kambing membesar dan banyak yang dah terjual. Bila ada modal, saya buat kandang lebih selesa dengan bumbung dan rangka besi untuk lebih kukuh, tapi tak sangka jadi begini,” katanya.

Tambahnya, kawasan itu juga jauh dari bekalan elektrik dan mustahil jika kebakaran berlaku akibat litar pintas.

“Apa-apa pun saya serahkan pada pihak berkuasa dan reda dengan apa yang berlaku,” katanya.

Dalam pada itu katanya, tiga ekor itik yang dibela dekat kandang berdekatan juga turut mati dalam kejadian terbabit.

Laporan telah dibuat di Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Muda, semalam.

Sementara itu, Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Negeri Kedah, Nor Hafizah Muhammad Lukman berkata, pihaknya menerima panggilan pada jam 7.01 malam.

Menurutnya, setibanya anggota sampai ke lokasi kejadian mendapati sebuah kandang kambing kelas C terbakar hampir keseluruhan bahagian.

“Operasi memadamkan kebakaran berjaya dikawal pada jam 7.16 petang,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.