Identiti Mangsa Rentung Dalam Kemalangan Ngeri Dikenal Pasti

JEMPOL 12 Jun – Seorang kakitangan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) dan isteri serta empat anak mereka dikenal pasti sebagai mangsa yang rentung dalam kemalangan ngeri di Kilometer 25 Jalan Bahau-Keratong di sini petang semalam.

Mangsa ialah kakitangan JPN yang bertugas di Putrajaya, Wan Mohd. Fauzi Wan Ibrahim, 51; isterinya, Masnoraida M. Yusoof,45; dan anak-anak mereka, Wan Muhammad Muhaimin, 22;

Wan Norathirah, 18; Wan Muhammad Amar Haziq, 13; dan Wan Noralesya, 7.

Identiti kesemua mangsa dikenal pasti oleh adik kepada Masnoraida iaitu Massuhailayante M. Yusof, 43, yang datang ke Hospital Jempol di sini malam ini.

Menurut Massuhailayante, ketika kejadian kesemua mangsa dalam perjalanan menghantar Wan Norathirah ke sebuah sekolah pendidikan khas di Pahang.

“Bagaimanapun seorang lagi anak pasangan itu, Wan Muhammad Hazim tidak ikut bersama mereka.

“Kali terakhir saya berjumpa dengan kakak saya pada malam Jumaat lalu semasa kami pulang menjaga ibu yang sakit di kampung di Melor, Pasir Putih, Kelantan,” katanya ketika ditemui di Hospital Jempol di sini.

Dalam kejadian pukul 2.20 petang itu, kereta Proton Exora yang dinaiki mereka terperosok ke bawah sebuah treler yang terbabas lalu terbakar.

Keenam-enam mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

Kejadian turut meragut dua lagi mangsa berusia 31 dan 32 tahun apabila sebuah kereta Myvi yang dinaiki berlanggar dengan sebuah kereta Toyota Vios selepas cuba mengelak treler membawa muatan sawit itu.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.