Dua Beradik Maut Motor Langgar Tiang Elektrik

KEPALA BATAS – Dua beradik lelaki maut selepas motosikal yang ditunggang mereka dipercayai hilang kawalan dan melanggar tiang elektrik dalam kejadian di Jalan Paya Keladi, di sini petang tadi.

Dalam kejadian kira-kira pukul 3 petang itu, Muhammad Alif Adam Azman, 13, dan adiknya, Muhammad Aiman Azman, 11, maut di tempat kejadian akibat kecederaan parah di kepala dan badan.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara (SPU), Asisten Komisioner Azmi Adam berkata, ketika kejadian mangsa dikatakan dalam perjalanan dari Pinang Tunggal menuju ke Paya Keladi.

Menurut beliau, pihaknya tidak menolak kemungkinan motosikal berkenaan dipandu laju sebelum hilang kawalan dan terbabas melanggar tiang elektrik menyebabkan kedua-dua mangsa tercampak ke bahu jalan.

Malah, ujar beliau, kedua-dua mangsa juga dipercayai tidak memakai topi keledar ketika kejadian.

Menurutnya, mayat dihantar ke Hospital Kepala Batas untuk dibedah siasat dan kes berkenaan disiasat di bawah seksyen 41 (1) Akta pengangkutan Jalan 1987.

“Kita juga menggesa orang ramai yang menyaksikan kejadian berkenaan tampil atau menghubungi polis bagi membantu siasatan,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.