Wan Azizah Terus ‘Kunci Mulut’ Berhubung Kemelut DAP, PAS

KUALA LUMPUR – Ketua Pembangkang, Datin Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail (gambar) mengunci mulut berhubung dakwaan kemelut berlarutan antara Pas dengan DAP ketika ini yang berpunca daripada kepemimpinan beliau sendiri.

 

Sebaliknya, Ahli Parlimen Permatang Pauh itu sekadar senyum dan menggelengkan kepala tanda enggan menjawab ketika ditanya oleh pemberita di lobi Parlimen hari ini.

 

Tindakan sama juga dilakukan Wan Azizah apabila diajukan soalan berhubung bilakah beliau akan memanggil mesyuarat pakatan pembangkang bagi menyelesaikan kemelut berkenaan.

 

Pertelingkahan antara dua parti komponen pakatan pembangkang itu memuncak ketika ini apabila DAP secara berterusan melakukan provokasi kepada ke­pemimpinan baharu Pas supaya mengeluarkan arahan kepada wakilnya di kerajaan negeri Pulau Pinang untuk meletakkan jawatan.

 

Perkara itu berikutan usul tanpa bahas oleh Dewan Ulama Pas untuk memutuskan hubungan dan kerjasama politik dengan DAP pada muktamar yang berlangsung minggu lepas.

 

Keadaan menjadi lebih buruk apabila DAP Selangor kelmarin memberi kata dua kepada Menteri Besar, Mohamed Azmin Ali untuk memilih sama ada DAP atau Pas untuk meneruskan kerjasama pentabiran kerajaan ne­geri.

 

Sebelum itu, Ahli Parlimen Pas, Datuk Mahfuz Omar turut menyatakan perkara sama.

 

Mohamed Azmin bagaimanapun semalam meminta kedua-dua pihak agar ‘tidak mengheret tangannya ke dalam permainan kebudak-budakan tersebut’. – UTUSAN

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.