Rani Kulup Anggap Populariti Troll Sebagai Rezeki

KUALA LUMPUR – Presiden Pertubuhan Martabat Jalinan Muhibbah Malaysia (MJMM), Abdul Rani Kulup Abdullah menganggap populariti yang dikecapinya menerusi laman ‘troll’ di media sosial mendatangkan rezeki buatnya.

 

Abdul Rani, 60, berkata beliau sedar akan kewujudan laman berkenaan namun hanya beranggapan gurauan itu memberi kelebihan.

 

Menerusi sisipan Mega dalam Utusan Malaysia hari ini, Rani yang mesra dengan panggilan Ayah, turut mengakui namanya sering mendapat perhatian warga media sosial dengan menggunakan hashtag #kipidap.

 

“Jadi saya tidak mahu terkesan dengan perkara ini, kalau kita lihat laman-laman ini tidaklah terlalu teruk sangat malah memberi kelebihan kepada saya juga apabila lebih dikenali kini.

 

“Baru-baru ini saya dapat tahu ada yang mencetak wajah saya ke atas baju untuk dijual. Memang pada mulanya saya agak marah namun apabila tahu tujuannya untuk menampung kehidupan anak-anak yatim saya izinkan sahaja.

 

“Terbaharu ada yang mahu menjadikan saya watak dalam dalam buku komik tidak lama lagi. Ini rezeki yang dibawa populariti itu sendiri.

 

“Bercakap soal populariti pula memang saya tidak boleh nafikan kehadiran saya ke mana mana pasti mendapat perhatian malah kalau saya diluar rumah juga orang boleh berhenti kereta semata-mata mahu bergambar,” ujarnya.

 

Menurutnya beliau tidak terkesan dengan laman berkenaan walaupun sedar wujud golongan yang menghinanya.

 

Ini kerana katanya beliau tidak mampu berbuat apa-apa memandangkan jumlah ‘peminatnya’ terlalu ramai.

 

“Kalau kita lihat lama troll itu memang ada yang mengutuk dan sebagainya. Tetapi apa yang saya boleh lakukan kepada pengomen laman itu memandangkan jumlah mereka ramai. Cukuplan sekadar saya lihat pemilik laman troll itu tidak melampaui batas,” katanya.

 

Dalam pada itu menerusi laporan yang sama, Abdul Rani turut menyatakan sasaran untuk membuat 1,000 laporan polis menjelang 2018.

 

Katanya beliau akan meneruskan ‘kerja’ selagi ada selagi ada unsur-unsur yang mengancam ketenteraman negara.

 

Jelasnya lagi beliau pernah melakar sejarah buat dirinya apabila berjaya membuat 13 laporan polis secara serentak.

 

“Sehingga kini saya sudah membuat hampir 1,000 laporan polis, semuanya ada kaitan dengan hasutan, hinaan dan jenayah.

 

“Saya tidak tahu bila laporan saya akan meningkat kepada 1,000 tetapi saya pasti sebelum 2018 nanti akan ada 1,000 laporan polis daripada saya,” katanya memetik Utusan Malaysia. – TheRakyatPost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.