Penjara 3 Hari, Denda RM5,000 Bogel Di Puncak Kinabalu

Kota Kinabalu – Empat pelancong asing termasuk dua wanita yang berkelakuan tidak senonoh di Gunung Kinabalu pada 30 Mei lalu, dihukum penjara tiga hari dan denda RM5,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini, hari ini.

 

Empat pelancong terbabit, Eleanor Grace Hawkins, 23, dari England; Dylan Thomas Snel, 23, warga Belanda; serta Lindsey Petersen, 23, dan adiknya Danielle Petersen, 22, dari Kanada.

 

Mengikut pertuduhan yang dijalankan secara berasingan, Snel dan Lindsey Peterson didakwa berbogel di kawasan puncak Gunung Kinabalu pada jam 6.45 pagi, 30 Mei lalu, manakala dua tertuduh wanita didakwa tidak memakai pakaian atas pada waktu, tarikh dan di lokasi sama.

 

Mereka didakwa mengikut Seksyen 294 (a) Kanun Keseksaan kerana melakukan perbuatan tidak senonoh di tempat awam.

 

Semua mereka mengaku bersalah sebaik pertuduhan dalam bahasa Inggeris dibacakan oleh jurubahasa mahkamah di hadapan Hakim Dean Wayne Daly.

 

Keempat-empat tertuduh diwakili peguam Ronny Cham manakala pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Jamil Aripin.

 

Daly dalam penghakimannya mengarahkan semua tertuduh dipenjara tiga bulan jika gagal membayar denda.

 

Prosiding sebentar tadi mendapat liputan meluas termasuk wakil media asing.

 

Terdahulu, empat pelancong terbabit tiba pada jam 2.44 petang di pekarangan kompleks Mahkamah Kota Kinabalu dengan dua pacuan empat roda sambil diiringi beberapa anggota polis daripada Unit Tindakan Khas (UTK) termasuk yang bertopeng.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.