Pembantu Juruterbang Germanwing Pernah Jumpa 41 Doktor

PARIS – Penyiasat Perancis membuka inkuiri jenayah ke atas nahas pesawat Germanwings terhempas di Pergunungan Alps tiga bulan lalu, untuk mencari jika ada suspek yang boleh dikaitkan dengan pembunuhan 150 penumpang dan kru dalam tragedi itu.

 

Pada masa sama, siasatan mendapati, pembantu juruterbang Germanwings, Andreas Lubitz yang didakwa bertanggungjawab menjatuhkan pesawat itu, pernah berjumpa tujuh doktor dalam tempoh sebulan, sebelum nahas berlaku.

 

Pendakwa raya Perancis, Brice Robin turut mendedahkan, Lubitz pernah berjumpa 41 doktor sepanjang lima tahun lalu.

 

“Kanun Keseksaan Perancis melarang saya daripada membuka siasatan untuk pematian orang, kerana pelakunya sudah mati,” kata Robin selepas menemui kira-kira 200 waris mangsa korban, semalam.

 

Beliau telah melantik tiga hakim untuk mengetuai siasatan pematian orang itu.

 

Jelasnya, Lubitz yang mengalami “psikosis” atau gangguan mental teruk, takut kehilangan penglihatan, justeru beliau berjumpa dengan 41 doktor sejak lima tahun lalu, termasuk pakar telinga, hidung dan tekak serta doktor sakit jiwa.

 

Ketika disoal siasat penyiasat Jerman, beberapa doktor itu memberitahu Lubitz mengadu beliau hanya mempunyai 30 peratus penglihatan, selain nampak pancaran cahaya dan mengalami kebimbangan yang menyebabkan beliau sukar tidur.

 

Lubitz pernah mengatakan “hidup tiada makna tanpa penglihatan.”

 

Kumpulan penyiasat sebelum ini mendapati, pembantu juruterbang berusia 27 tahun itu dengan sengaja menjatuhkan pesawat yang dalam penerbangan dari Barcelona ke Duesseldorf, pada 24 Mac lalu, menyebabkan kesemua 150 penumpang serta kru maut.

 

Stephane Gicquel yang merupakan ketua kumpulan sokongan waris mangsa korban nahas itu memaklumkan, tujuan memperluaskan siasatan adalah untuk mengenal pasti jika wujud kesilapan syarikat penerbangan dalam mengesan tahap kesihatan mental Lubitz.

 

“Kami boleh nampak dengan jelas tujuan pendakwa raya membuka siasatan untuk pematian orang dan mencari kesilapan atau kecuaian Lufthansa dalam mengesan tahap kesihatan Lubitz,” katanya.

 

Sementara itu, beberapa waris berang dengan penangguhan menghantar jenazah mangsa korban kepada ahli keluarga, gara-gara kesilapan ejaan dalam sijil kematian.

 

Setakat ini, hanya 44 jenazah warga Jerman daripada keseluruhan 150 penumpang dan kru yang terkorban dalam tragedi itu telah dipulangkan kepada waris masing-masing.

 

Sejumlah 72 rakyat Jerman menaiki pesawat Airbus A320 itu.

 

Menurut Robin, jenazah 30 warga Sepanyol akan dihantar pada Isnin depan, manakala jenazah baki mangsa korban daripada 18 negara akan dihantar menjelang akhir bulan ini.

 

Kerja-kerja mengenal pasti identiti jenazah mangsa korban dalam penerbangan 4U9525 itu diselesaikan bulan lalu.

 

Jenazah yang tidak dapat dikenal pasti akan dikebumikan di sebuah kubur di Bandar Vernet, tidak jauh dari lokasi pesawat itu terhempas. – TheRakyatPost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.