Myanmar Tidak Layak Jadi Anggotai ASEAN – TunM

Kuala Lumpur – Tindakan rejim Myanmar diselar kerana membiarkan rakyat Rohingya terus ditindas di bumi sendiri.

 

Mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata kerajaan Myanmar tidak layak untuk terus menganggotai komuniti ASEAN kerana tindakan mereka menyalahi akta kemanusiaan yang telah digariskan Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB).

 

“Saya bersetuju menerima Myanmar sebagai anggota dalam komuniti ASEAN dahulu tetapi tindakan mereka kini tidak boleh diterima.

 

“Mereka bukan binatang walhal haiwan pun membunuh untuk mendapatkan makanan. Malangnya mereka melakukan pembunuhan yang sia-sia,” katanya dalam ucaptama Plight of the Rohingya Part II: Crime Against Humanity di Muzium Kesenian Islam di sini hari ini.

 

Dr Mahathir berkata anggota ASEAN perlu campur tangan dalam menangani isu kezaliman terhadap etnik Rohingya kerana sebagai negara yang merdeka, tidak boleh membunuh mana-mana manusia seperti itu.
Jelasnya, ketika berada di Bangkok, Myanmar enggan menghadiri persidangan yang menggunakan perkataan Rohingya.

 

“Bagaimana kita boleh terima tindakan mereka itu, sedangkan Myanmar enggan hadir ke persidangan yang membangkitkan isu berkaitan Rohingya?

 

“Negara-negara anggota ASEAN kena ambil tindakan kerana isu tersebut kini menjadi international affair bukan lagi internal affair. Myanmar perlu diingatkan untuk menghentikan tindakan itu jika ingin terus menganggotai ASEAN,” katanya.

 

Tambah beliau, lebih baik ASEAN kehilangan Myanmar daripada terus menerima mereka sebagai sebahagian dalam ASEAN.

 

“Bangsa Rohingya sudah tinggal di Myanmar sejak berkurun lama jadi jika ingin terus melakukan pembunuhan beramai-ramai lebih baik mereka tinggalkan ASEAN.

 

“Saya sendiri pernah melawat ke sana bertemu dengan pemimpin Myanmar. Kita hendak berkawan dengan Myanmar tetapi mereka tidak memberi respon terhadap penindasan etnik Rohingya,” katanya.

 

Beliau berkata, kita tidak boleh terus menerima keanggotaan negara yang membunuh rakyatnya dan perkara itu perlu dibangkitkan di peringkat kerajaan Malaysia selaku pengerusi ASEAN tahun ini dan ke peringkat PBB.

 

“Saya harap persidangan kali kedua ini akan mencapai resolusi yang positif sekaligus menghentikan kezaliman dan pembunuhan beramai-ramai terhadap Rohingya.

 

“Saya juga yakin dan percaya penganut dan pengamal ajaran Buddha tidak membunuh malangnya mereka sudah lupa dengan ajaran agama mereka itu malah mana-mana agama juga tidak membenarkan pembunuhan dilakukan,” katanya. – TRP

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.