Lim Guan Eng Tak Perlu Nak Ajar PAS – Mohd Amar

KOTA BHARU – Naib Presiden Pas, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah menggesa Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng tidak ‘mengajar’ Pas dalam menentukan keputusan mengenai status lantikan politik di Selangor dan Pulau Pinang.

 

Mohd Amar berkata, keputusan mengenai perkara itu akan diputuskan Majlis Syura Ulama yang akan bermesyuarat tidak lama lagi dan usul tersebut adalah bersifat cadangan, bukannya arahan sebagaimana dipolemikkan.

 

“Sekarang ini, Majlis Syura Ulama belum buat keputusan, jadi kita kena tunggu. Jika Majlis Syura Ulama berpendapat kena putus (dengan DAP), pada waktu itu kita akan arahkan semua orang kita supaya meletakkan jawatan. Sekarang ini belum ada keputusan muktamad, maka belum keluarlah sebarang arahan.

 

“Saya nasihatkan Guan Eng tidak perlulah mengajar kita. Keputusan Majlis Syura Ulama ini kebiasaannya akan dimaklumkan kepada Pas Pusat, yang akan ambil tindakan sewajarnya dengan keputusan tersebut,” katanya kepada media selepas merasmikan Program Festival Koperasi Tengku Muhammad Faris Petra, di sini.

 

Beliau mengulas kenyataan Guan Eng yang menggesa Pas mengarahkan wakilnya dalam kerajaan Pulau Pinang untuk meletakkan jawatan sekiranya maruah politik masih wujud dalam kepimpinan baharu parti itu.

 

Menurutnya, DAP tidak boleh terlalu berlapang dada jika benar lantikan politik di Pulau Pinang meletakkan jawatan kerana walaupun Exco negeri itu dikuasai DAP dan PKR, namun hasil usaha kemenangan pilihan raya juga hadir daripada sumbangan Pas.

 

Beliau yang juga Timbalan Pesuruhjaya 1 Pas Kelantan turut menegaskan, Pas Pulau Pinang bersedia untuk sebarang kemungkinan meletakkan jawatan sekiranya keputusan Majlis Syura Ulama menetapkan demikian.

 

“Orang baru bincang tentang hendak bercerai, bukannya sudah bercerai. Kalau bercerai, ada talak juga, tengok bercerai macam mana, kalau talak tiga, tidak boleh baik, itu sahaja. Lantikan politik di Pulau Pinang ini pun kecil sangat dan mereka pun bersedia,” katanya.

 

Sementara itu, dalam perkembangan lain, beliau turut ditanya mengenai bayangan kepimpinan negeri yang mungkin akan dirombak selepas muktamar baru-baru ini.

 

“Buat masa sekarang, kita masih belum putuskan pesuruhjaya, bila sudah ada pesuruhjaya nanti, maka terserah kepadanya untuk menentukan. Sama ada kepimpinan sekarang masih kekal ataupun buat Kabinet baharu, semua keputusan belum ada,” katanya. – SInar

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.