Kafe Meletup Dirempuh Lori

Queensland – Sekurang-kurangnya 21 cedera termasuk tiga parah selepas sebuah lori pikap yang merempuh kedai makan turut melanggar tangki gas dan mengakibatkan letupan yang memusnahkan premis berkenaan.

 

Kejadian waktu tengah hari di kafe popular, Serves You Right di Ravenshoe, menyebabkan letupan kuat sehingga ada penduduk tempatan menyangka gempa bumi berlaku.

 

Dua anggota bomba antara mangsa yang parah.

 

Semua mangsa yang cedera kini mendapat rawatan di tiga hospital berbeza termasuk dua mangsa kritikal, lelaki berusia 60 tahun dan wanita berusia 43 tahun.

 

Penyiasat masih menyiasat punca sebenar kejadian, namun siasatan awal mendapati letupan berlaku selepas kenderaan berkenaan merempuh pagar sebelum mengenai bahagian belakang kafe terbabit.

 

Penduduk berkata mereka merasa pekan itu bergegar akibat letupan terbabit.

 

Seorang saksi yang enggan dinamakan berkata: “Keadaan memang kelam-kabut. Saya mendengar tiga letupan menyebabkan bumbung kafe hampir tercabut.

 

“Saya kemudian melihat pemandu terbabit turut mendapat rawatan paramedik.”

 

Seorang lagi saksi, Alexandra Taylor berkata, orang ramai bergegas menyiram air ke atas mangsa.

 

“Begitu ramai orang yang mengalami lecuran tahap ketiga.

 

“Saya melihat baju seorang wanita warga emas hangus sepenuhnya,” katanya.

 

Saksi percaya pemandu kenderaan terbabit lelaki warga emas yang mengalami masalah kesihatan sebelum hilang kawalan kenderaannya. – Agensi

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.