Gaduh Rebut Tapak Bazar Ramadan, Tiga Peniaga Ditahan

SEREMBAN –  Tiga lelaki ditahan kerana disyaki terbabit dalam pergaduhan itu serta menimbulkan kekecohan dalam bantahan aman berhubung pembahagian tapak Bazar Ramadan di Dewan Majlis Perbandaran Seremban (MPS), di sini, kelmarin.

 

Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Muhamad Zaki Harun berkata, mereka ditahan berusia antara 36 hingga 71 tahun dan dipercayai mencetuskan pergaduhan dalam piket berkenaan.

 

Katanya, kejadian pada 2.30 petang tercetus sejurus Persatuan Penjaja Uptown Dataran Senawang (PUDS) mengadakan bantahan aman di dewan terbabit berikutan tidak berpuas hati keputusan MPS membahagikan tapak kepada peniaga bazar Ramadan.

 

Menurutnya, bantahan disusuli sidang media bertukar kecoh apabila sekumpulan individu menyerbu Pengerusi PUDS Mejar (B) Razali Zakaria yang didakwa memberikan keterangan tidak benar mengenai pembahagian tapak itu.

 

“Kumpulan terbabit dikatakan berang dengan tindakan persatuan menganjurkan piket menyebabkan berlakunya pertikaian lidah.

 

“Kemuncak kekecohan berakhir apabila berlaku aksi tumbuk menumbuk membabitkan wakil PUDS dan individu daripada kumpulan berkenaan,” katanya.

 

Muhamad Zaki berkata, disebabkan itu ketiga-tiga lelaki terbabit ditahan mengikut Seksyen 147 Kanun Keseksaan. – HMetro

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.