Aktiviti Pencegahan Jangkitan MERS-Cov Giat Dilaksanakan

KUALA LUMPUR – Kementerian Kesihatan sentiasa memperkukuh pelbagai aktiviti kesiapsiagaan serta respons bagi mengelak jangkitan Sindrom Pernafasan Virus Korona Timur Tengah (MERS-Cov) di negara ini.

 

Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, aktiviti itu termasuk saringan kesihatan di Pintu Masuk Antarabangsa Negara dan edaran kad amaran kesihatan.

 

“Aktiviti saringan kesihatan di pintu masuk ini bertujuan mengesan pelawat yang menunjukkan tanda atau gejala penyakit berjangkit termasuklah Ebola dan MERS-Cov.

 

“Bagi MERS-Cov, saringan juga kini tertumpu kepada pelawat yang tiba dari Republik Korea (Korea Selatan) selain para pelawat yang tiba dari Semenanjung Arab,” katanya menerusi kenyataan di sini hari ini.

 

Kementerian Kesihatan juga katanya sentiasa bekerjasama dengan semua kementerian dan agensi berkaitan seperti Kementerian Dalam Negeri, Kementerian Luar, Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan, Kementerian Pengangkutan serta Jabatan Imigresen dalam usaha mengukuh tahap kesiapsiagaan dan respons bagi menghadapi kemungkinan penularan penyakit itu ke negara ini.

 

“Kementerian juga bekerjasama dengan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) untuk memantau situasi semasa kejadian wabak itu seterusnya memastikan langkah pencegahan dan kawalan yang sewajarnya dilaksanakan secara berterusan,” katanya.

 

Bagaimanapun, Noor Hisham berkata, sehingga kini WHO tidak mengeluarkan sebarang larangan lawatan ke negara-negara yang terlibat termasuk Korea Selatan.

 

“Namun begitu, orang awam yang ingin mengadakan lawatan ke mana-mana negara di Semenanjung Arab dan Republik Korea yang kini melaporkan kejadian wabak jangkitan MERS-Cov perlulah mematuhi arahan penjagaan yang dikeluarkan kementerian di laman sesawang www.moh.gov.my,” katanya.

 

Noor Hisham turut menasihatkan orang ramai yang baru pulang dari lawatan ke negara-negara terlibat dan mengalami gejala demam atau jangkitan seperti batuk dan kesukaran bernafas agar mendapatkan rawatan segera selain memaklumkan mengenai sejarah perjalanan kepada doktor yang merawat.

 

Katanya, sebaik mengalami gejala berkenaan, mereka yang dijangkiti perlu mengehadkan pergaulan dengan individu lain yang sihat dan memakai penutup mulut serta hidung apabila berinteraksi. – BERNAMA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.