Ada Pihak Cuba Seleweng Sejarah Pembukaan Pulau Pinang

PULAU PINANG – Sejarah pembukaan negeri ini seolah-olah cuba dipesongkan apabila fakta sebenar yang telah dibuktikan sarjana dan ahli sejarah tidak dimasukkan Biro Penerangan negeri ke dalam artikel bertajuk Latar Belakang Pulau Pinang yang dimuat naik ke laman web Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP).

 

Malah, melalui artikel yang boleh diakses umum itu, Biro Pene­rangan negeri mendakwa sejarah negeri ini hanya bermula pada tahun 1786 iaitu selepas Pegawai British, Kapten Francis Light tiba di negeri ini dan membuat perjanjian bersama Sultan Kedah.

 

Pakar Kesusasteraan Bandingan, Pusat Pengajian Ilmu Kemanusiaan, Universiti Sains Malaysia (USM), Prof. Datuk Seri Md. Salleh Yaapar berkata, fakta dalam artikel terbabit tidak tepat dan perlu diperbetulkan.

 

Beliau berkata, pembukaan ne­geri ini bukan dilakukan oleh Francis Light, sebaliknya melibatkan Raja Nan Intan yang juga dikenali sebagai Datuk Nakhoda Intan.

 

Katanya, Datuk Nakhoda Intan yang berasal dari Paya Kumbuh, Sumatera Barat telah membuka pelabuhan Batu Uban dan membina penempatan di kawasan berkenaan pada 1734 setelah mendapat perkenan Sultan Kedah ketika itu, Sultan Muhammad Jiwa Zainal Abidin Muazzam Shah II.

 

Malah pada tahun sama, tambahnya, dua saudara Datuk Na­khoda Intan iaitu Nakhoda Bayan dan Nakhoda Kecil juga telah datang ke negeri ini dan masing-masing membuka penempatan di Bayan Lepas serta Jelutong.

 

“Francis Light hanya tiba di ne­geri ini selepas 52 tahun kedatangan Datuk Nakhoda Intan bersama saudaranya di Pulau Pinang dan fakta ini perlu ditegakkan.

 

“Negeri ini dibuka oleh pribumi alam Melayu sendiri dan bukan penjajah Barat, malah fakta ini juga telah banyak kali dibangkitkan serta disokong dengan bukti-bukti sahih. Jadi mengapa Biro Penerangan negeri tidak berpegang pada fakta ini,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini baru-baru ini.

 

Tambah Md. Salleh, selain Datuk Nakhoda Intan yang bersama saudaranya datang dan membuka penempatan, seorang lagi tokoh dari alam Melayu yang tiba sebelum Francis Light ke negeri ini ialah Datuk Janatun.

 

Sehubungan itu, beliau mempersoalkan mengapa nama tokoh-tokoh tersebut tidak diketengahkan Biro Penerangan negeri sedangkan mereka adalah yang terawal tiba di negeri ini.

 

“Kesilapan oleh Biro Penerangan negeri itu tidak sepatutnya berlaku kerana seolah-olah cuba meni­dakkan penglibatan kaum pribumi kepulauan Melayu dalam sejarah pembukaan Pulau Pinang,” katanya.

 

Menurutnya, sehingga kini masjid di Batu Uban yang diba­ngunkan oleh Datuk Nakhoda Intan bersama pengikutnya masih utuh di sam­ping sebuah telaga yang digali mereka juga airnya tidak pernah kering biarpun telah berusia hampir 300 tahun.

 

Selain itu, beliau juga menegaskan Georgetown yang dibuka Francis Light dan menjadi ibu negeri Pulau Pinang hari ini mempunyai nama asal yang diberikan penduduk tempatan sebelum kedatangan pegawai British berkenaan.

 

“Tanjung Penaga adalah nama asal Georgetown sebelum ditukarkan British dan sebab itu masih ada orang negeri ini menyebut ‘Tanjung’ bagi merujuk kawasan Georgetown yang secara tidak langsung menyokong pembukaan Pulau Pinang telah dibuat lebih awal sebelum kedatangan Francis Light,” ujarnya. – UTUSAN

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.