Racun Anak Sendiri, Kerana Nak Popular Dalam Facebook

Brisbane – Seorang wanita Australia dijatuhi hukuman enam tahun penjara semalam selepas didapati bersalah meracun anaknya dengan dadah yang mengaktifkan sel kanser.

Dia juga dikatakan memuat naik cerita mengenai ‘pertarungan hidup mati’ anaknya itu ke Facebook untuk mendapatkan perhatian orang ramai.

Ibu kejam berusia 23 tahun itu mengaku bersalah menyebabkan kecederaan pada tubuh anaknya.

Hakim Tony Rafter menyifatkan perkara itu ‘pencabulan amanah yang tidak boleh diterima.’ “Kamu pasti tahu kesan buruk yang akan menimpa anak kamu,” katanya.

Mahkamah Daerah Brisbane dimaklumkan mengenai perbuatan wanita itu yang sengaja meracun anak perempuannya dengan memberikan dadah yang dibeli menerusi Internet dan membuat satu laman sesawang untuk meminta bantuan pemindahan tulang sum-sum untuk anaknya.

Pendakwa raya Glen Cash memberitahu mahkamah wanita terbabit memberikan dadah itu kepada anaknya selama sembilan bulan untuk mempopularkan dirinya.

Dadah terbabit menyebabkan kanak-kanak yang tidak berpenyakit itu menderita apabila tulang sum-sumnya gagal berfungsi tahun lepas.

Menurut Cash, pakar perubatan mengesyaki kanak-kanak itu diracun dan keraguan mereka disahkan apabila polis menemui pil dan resit pembelian di kediaman wanita itu.

Peguamnya, Catherine Morgan berkata, wanita itu mengalami gangguan mental yang jarang ditemui, mendorong penghidapnya membesar-besarkan simptom yang dimiliki seseorang dalam jagaannya.

Mahkamah dimaklumkan, kanak-kanak yang nyaris maut itu kini dijaga datuk dan neneknya dan semakin pulih. – AFP

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.