Tukang Masak Bunuh Pelajar UiTM Dihukum Gantung

TAIPING – Seorang tukang masak dihukum gantung sampai mati oleh Mahkamah Tinggi di sini hari ini setelah didapati bersalah membunuh seorang pelajar perempuan Universiti Teknologi Mara (UiTM) Pulau Pinang, dua tahun lalu.

Pesuruhjaya Kehakiman Mohamed Zaini Mazlan memutuskan demikian selepas mendapati pembelaan tertuduh, Syarafi Abu, 27, gagal menimbulkan keraguan munasabah terhadap kes pendakwaan, lapor Utusan.

Dalam penghakimannya, Mohamed Zaini berkata, keputusan itu dibuat selepas mengambil kira hujahan dan penjelasan yang terperinci daripada pihak pendakwaan dan pembelaan.

“Justeru kamu, Sharafi didapati salah dan sabit membunuh Nursyuhada Johari.

“Tiada hukuman lain yang diperuntukkan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan selain hukuman gantung. Oleh itu kamu akan digantung di leher sehingga mati,” katanya.

Syarafi yang bekerja di Melaka didapati membunuh membunuh pelajar Diploma Pengurusan Hotel dan Pelancongan, Nursyuhada Johari, 20, kira-kira pukul 11.55 pagi 2 Februari 2015 di Kilometer 228.2, Lebuh Raya Utara Selatan dekat sini.

Tertuduh yang diwakili peguam, Datuk Naran Singh didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati mandatori.

Sepanjang perbicaraan, Timbalan Pendakwa Raya, Yusaini Amer Abdul Karim, Mohd. Amril Johari dan Mohd. Azrul Faidz yang mengendalikan pendakwaan memanggil 16 saksi manakala pihak pembelaan menampilkan dua saksi termasuk tertuduh.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.