FAM Dalam Dilema

PERSATUAN Bola Sepak Malaysia (FAM) berada dalam dilema.

Walaupun Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) sudah membuat keputusan bahawa aksi kelayakan Piala Asia 2019 peringkat Kumpulan B antara Malaysia dan Korea Utara bakal diadakan di Stadium Kim Il-sung, Pyongyang pada 8 Jun depan, namun ia tetap meletakkan FAM berada dalam situasi tidak selesa, lapor Kosmo.

Bukan tidak bersetuju dengan keputusan AFC, tetapi aspek keselamatan pemain negara menjadi keutamaan badan induk bola sepak negara itu.

Presiden FAM, Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim bertitah, baginda bimbang dengan tahap keselamatan skuad Harimau Malaya yang akan menghadapi Korea Utara pada aksi kelayakan itu di Pyongyang nanti.

Tunku Ismail bertitah, baginda memandang serius isu keselamatan skuad negara dan FAM berada dalam keadaan sukar untuk melepaskan para pemain beraksi pada perlawanan tersebut.

Titah baginda, aspek keselamatan masih kurang meyakinkan di Korea Utara ketika ini, tetapi jika FAM membuat keputusan untuk tidak beraksi, ia akan menimbulkan masalah lain.

“Saya selaku Presiden FAM amat mengambil berat berkenaan isu keselamatan pemain-pemain negara dan agak sukar bagi saya melepaskan mereka pergi ke sana.

“Tetapi, sekiranya FAM tidak melepaskan Harimau Malaya beraksi pada perlawanan di Pyongyang itu nanti, Korea Utara akan diberikan kemenangan percuma 3-0.

“Selain itu, kita juga akan didenda sehingga AS$50,000 (RM218,000), malah berdepan kemungkinan disingkirkan daripada aksi kelayakan itu,” titah Tunku Ismail dalam satu kenyataan rasmi semalam.

Pada Isnin lalu, AFC telah membuat keputusan bahawa perlawanan antara Harimau Malaya dan Korea Utara kekal diadakan di Pyongyang selepas mendapati tiada halangan yang dibuat oleh kerajaan Malaysia kepada rakyat negara ini berkunjung ke negara berkenaan.

Justeru, AFC bersetuju bahawa perlawanan kelayakan itu kekal dilangsungkan di Pyongyang.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.