Polis Marin Patah Cubaan Seludup 6,900 Liter Diesel

PASIR PUTEH – Pasukan Polis Marin Wilayah 3 Tok Bali dekat sini merampas 6,900 liter diesel bernilai RM12,075 dari bot kargo yang berdaftar di Mongolia dan menahan kru warga Vietnam di sebuah jeti pendaratan ikan, dekat sini semalam.

 

Dalam kejadian kira-kira pukul 11 pagi, tujuh anggota polis marin yang sedang melakukan Operasi Pensura di sekitar Tok Bali mendapati bot itu yang berlabuh di Terusan Semerak berada dalam keadaan mencurigakan.

 

Pegawai Pemerintah pasukan itu, Inspektor Nik Ali Nik Mat berkata, hasil pemeriksaan mendapati 230 tong minyak diesel ditemukan dalam petak khas di bahagian hadapan dan belakang bot kargo berkenaan yang jumlahnya adalah melebihi keperluan.

 

“Kesemua kru kapal dan seorang jurumudi berumur di antara 15 hingga 68 tahun dibawa ke pangkalan operasi di Tok Bali untuk siasatan lanjut,” katanya dalam sidang akhbar di pangkalan itu di sini malam tadi.

 

Nik Ali berkata, minyak diesel serta bot yang dirampas itu akan diserahkan kepada Pejabat Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Kelantan untuk tindakan lanjut.

 

Menurutnya, nilai rampasan keseluruhan dianggarkan berjumlah RM1.21 juta membabitkan sebuah bot kargo yang bernilai RM1.2 juta dan 6,900 tong minyak diesel. – UTUSAN

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.