‘Sleeping’ Buddha Simbol Wesak Di Kelantan

Esok merupakan hari bersejarah dan terpenting bagi para penganut agama Buddha di seluruh dunia.

Tercatit dalam kalendar masyarakat Buddha sebagai suatu yang unik, Hari Wesak akan diraikan dengan penuh penghormatan dan signifikan yang cukup indah bagi mereka.

Menurut Wikipedia, Hari Wesak dikenali dengan nama Visakah Puja atau Buddha Purnima di India, Vesak di Singapura, Visakha Bucha di Thailand, dan Wesak di Sri Lanka.

Wesak juga dikatakan merupakan satu bulan dalam takwim India dahulu kala yang kebiasaannya jatuh pada Mei. Akan tetapi, ia juga boleh bermula sekitar hujung April atau berlanjutan hingga awal Jun.

Memetik kenyataan sebuah portal, keizinan untuk merayakan Wesak sebagai hari keputeraan Buddha telah diputuskan ketika persidangan pertama World Fellowship of Buddhist yang diadakan Sri Lanka pada tahun 1950.

Disambut ketika bulan penuh, perayaan ini turut disambut oleh beberapa negara Asia seperti Singapura, Sri Lanka, India, Jepun, Taiwan, Indonesia, Nepal dan juga termasuk Malaysia.

 

Sejarah Hari Wesak

Cukup mudah untuk penulis berkomunikasi dengan Ketua Sami, Pharphochai Achara Pho Chai atau mesra disapa dengan Tok Raja apabila berbicara dalam dielek Kelantan.

Memulakan perbualan dengan Tok Raja, beliau ketika dihubungi disifatkan cukup senang untuk berkongsi sejarah Hari Wesak. Dalam fikiran penulis, mungkin kerana pengalaman beliau yang sudah lama berada di kuil dan semestinya seorang penganut agama Buddha yang tinggi ilmunya.

“Begini kisahnya, Hari Wesak merupakan simbolik tiga perkara kejadian penting berlaku dalam satu waktu ialah hari lahir, berjaya (pencerahan) dan ke syurga pengasas agama Buddha, Gautama Buddha.

“Antara tiga kejadian ini adalah Kelahiran Siddharta Buddha di Taman Lumbini. Kemudiannya, Siddharta Buddha mendapat ilham Agung dan menjadi Buddha di Buddha-Gaya pada usia lingkungan 35 tahun dan pada tarikh yang sama juga Buddha Gautama mangkat di Kusinara pada usia 80 tahun,” katanya yang seakan-akan sudah menghafal dan lali dengan soalan yang diajukan ini.

 

Persiapan Awal

Bercakap berdasarkan pengalaman, Tok Raja yang juga merupakan Ketua Sami di Wat Phothivihan di Kampung Jambu, Tumpat turut ditanya mengenai persiapan awal bagi menyambut kedatangan Wesak.

Tanpa berselindung, beliau dengan loghat Kelantan dan sedikit laju dalam percakapannya berkata, persiapan awal lebih tertumpu kepada proses membersihkan kawasan kuil dan patung-patung Buddha yang dilakukan oleh penjaga kuil dan juga para sami.

“Sekarang kami bersama-sama sami-sami yang lain sibuk membersihkan kawasan, patung-patung, disamping menyusun cawan-cawan pelita bagi memudahkan upacara pada hari berkenaan.

“Kebiasaannya, persiapan kami tidak begitu meriah sangat jika dibandingkan dengan kuil-kuil di negeri lain, namun tetap membuat sesuatu yang menarik untuk menghormati dan mengenang dewa,” ceritanya yang turut memberi contoh membuat replika bunga teratai pada 2 tahun lepas.

Disapa samada replika bunga itu akan tetap dilakukan pada tahun ini, beliau dengan ringkas menjawab, “kemungkinan tidak cuma pada tahun tersebut inginkan sedikit kelainan”.

Tambahnya lagi, sambutan Hari Wesak juga sebenarnya ibarat satu amalan kebajikan para penganut untuk Guru mereka.

“Mereka akan membawa pemberian yang ringkas seperti colok, lilin dan bunga untuk dipersembahkan di kaki Guru yang agung.

Mengakui bahawa simbolik amalan ini sebagai tanda mengingatkan mereka bahawa kehidupan setiap insan adalah singkat ibarat bunga yang bakal layu manakala lilin serta colok akan terhenti setelah habis dibakar.

 

Patung Buddha Tarik Kunjungan

Perayaan berbeza dari satu negara dengan negara yang lain. Misalnya di Thailand, lampu Wesak khas turut dibuat daripada kertas dan kayu, dan sering terdapat upacara mengeluarkan burung besar dalam sangkar.

Pembebasan burung ialah simbolik untuk memberikan kebebasan kepada mereka yang di dalam tawanan.

Di Malaysia, amalannya atau upacara mungkin sedikit berbeza namun tetap menjadi tumpuan. Ini kerana, Malaysia mempunyai pelbagai kuil yang menarik untuk dilawati.

Antara tempat yang sering dikunjungi untuk bersembahyang, bermeditasi dan memberi sedekah kepada sami ialah di Kuil Buddha Vihara di Brickfield dan Kuil Kuan Yin Temple di Petaling Jaya.

Setiap tahun, ribuan penganut agama Buddha akan berkunjung ke kuil-kuil tersebut dalam suasana yang penuh ceria dan harmoni.

Tidak kurang di Kelantan, keunikan tiga patung Buddha yang dibina dengan hasil seni dan kreativiti yang tersendiri, dimana salah satunya merupakan yang kedua terbesar di dunia telah menjadikannya tumpuan ramai pelancong.

Sebagai seorang yang terbuka dengan kunjungan pelancong, Tok Raja bersetuju bahawa kewujudan dan pembinaan patung-patung Buddha ini telah menjadikan Kelantan salah satu tempat yang cukup menarik untuk dilawati oleh pelbagai lapisan masyarakat.

Bercakap kepada mD, beliau menyifatkan kunjungan para pelawat merupakan satu penghormatan kepada penganut agama Buddha disamping tidak menolak bahawa ianya boleh menjana ekonomi negeri Kelantan yang juga diberi jolokan Cik Siti Wan Kembang.

“Biasanya melalui perhatian saya, mereka yang datang daripada luar negara seperti Singapura, China, German dan jiran terdekat, Thailand.

“Kunjungan mereka ini juga dilihat ketika kami merayakan Hari Wesak. Mereka datang untuk melihat upacara, mengambil gambar dan tidak kurang untuk turut sama berdoa,” ceritanya lagi.

Tambahnya lagi, ketiga-tiga patung yang berada dalam jajahan Tumpat ini mempunyai keunikan yang tersendiri antaranya patung Buddha baring di Kampung Jambu merupakan patung kedua terbesar di dunia selepas Myammar, Buddha duduk di Kampung Jubakar, Bunohan pula kedua terbesar di Asia tenggara dan tidak kurang hebat Buddha berdiri di Kampung Terbok.

Meskipun penulis seorang anak jati Kelantan, namun penceritaan Tok Raja menjadikan penulis semakin teruja untuk mengetahui keistimewaan patung Buddha yang terdapat disana.

Diaju dengan soalan yang dilihat seperti penulis tidak pernah mengunjungi tempat tersebut, Tok Raja seakan ingin ketawa kecil.

Meneruskan penceritaan, beliau berkata, patung Buddha baring yang juga digelar sleeping Buddha mempunyai diameter panjang 40.9 meter dan tinggi 10.6 meter.

“Pembinaan mengambil masa selama enam tahun dan (ianya) menelan jutaan ringgit,” ujarnya yang turut mempelawa penulis untuk mengunjungi tokong Wat Phothivihan ini.

Manakala memetik satu laporan portal berita sebelum ini sebagai berkata, patung Buddha duduk dan berdiri pula masing-masing mempunyai ketinggian 30 meter dan panjang 46.9 serta ketinggian lebih 11.5 meter dan besar lebih 3.3 meter.

Amanat Tok Sami

Sebelum mengakhiri perbualan bersama Tok Sami, penulis sempat bertanyakan amanat serta harapan yang ingin disampaikan.

Ujarnya, sambutan Hari Wesak merupakan amalan tahunan, jadi gunakan kesempatan yang ada untuk mendukung Tisarana bagi memastikan keharmonian dalam hidup dan ini perlu diamalkan oleh setiap ajaran dengan cara yang tersendiri bagi memastikan keharmonian dan kesejahteraan hidup.

Tirasana merupakan tiga perlindungan iaitu Buddha, Dhamma dan Sangha.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.