Pemilihan PKR : JPP Dakwa Tiada Sebarang Aduan Politik Wang

Petaling Jaya – Jawatankuasa Pemilihan Pusat (JPP) PKR sehingga kini belum menerima sebarang aduan berkaitan amalan politik wang untuk meraih undi dalam pemilihan parti itu.

Pengerusi Panel Bantahan JPP Abdul Malek Hussin, berkata tindakan sesetengah calon menggunakan kedudukan dalam kerajaan negeri membuat majlis rasmi tidak diklasifikasikan sebagai politik wang.

“Setakat ini tidak ada aduan politik wang. Bagi calon yang berjawatan negeri termasuk Exco kehadiran mereka dalam majlis rasmi negeri tak disifatkan sebagai satu bentuk kempen,” katanya dalam sidang media di ibu pejabat PKR hari ini.

Beliau mengulas dakwaan bekas ahli Parlimen Kapar, S Manikavasagam yang calon Timbalan Presiden PKR, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim mengamalkan politik wang semasa mengundi di Cabang Kuala Selangor Selangor semalam.

S Manikavasagam mendakwa Abdul Khalid memberi wang kepada pengundi sebanyak RM50 seorang.

“Saya ada bukti dalam bentuk rakaman video dan saya akan muat naikkannya tidak lama lagi.

Saya menerima aduan bahawa pemilih diberi rasuah sebanyak RM30 untuk memberi undi kepada calon yang bertanding bagi jawatan kebangsaan dan RM20 bagi jawatan ketua bahagian Kuala Selangor.

“Saya harap jawatankuasa pemilih akan bertindak segera tentang perkara ini,” katanya.

Abdul Khalid mengakui beliau ada menaja pengangkutan bagi kemudahan pengundi ke tempat pusat mengundi tetapi menafikan memberi sogokkan wang untuk mengundi beliau.

Insiden tersebut menyebabkan kekecohan dan pemilihan parti untuk cabang Kuala Selangor perlu diadakan semula pada satu tarikh yang ditetapkan kemudian.

Sementara itu, Pengerusi JPP Datuk Johari Abdul memberitahu pihaknya masih belum memutuskan tarikh untuk membuat pemilihan semula.

Menurutnya, pemilihan semula tidak akan diadakan dalam masa terdekat bagi memberi ruang kepada JPP meneliti setiap laporan dan aduan yang dikemukakan.

“Saya katakan bahawa kita tidak tergesa-gesa, kita akan pastikan semua masalah yang timbul ini kita selesaikan, setiap aduan kita akan lihat dan perhalusi dan kita tidak dalam keadaan tergesa-gesa.

“Kita lihat balik perlembagaan, kalau ia mengambil masa satu ke dua bulan, apa salahnya, kita akan lakukan.

“Jadi kita bertindak tegas berhubung perkara ini dan kita akan dapat kerjasama dari semua yang terlibat sama ada di Selangor atau negeri-negeri yang terlibat dan mereka akan memberikan kerjasama,” katanya.

Malah jelas ahli Parlimen Sungai Petani itu, Majlis Pimpinan Parti (MPP) mempunyai tempoh sehingga November 2014 sebelum penggal perkhidmatan mereka berakhir.

“Kita akan ikut garis panduan dan juga perundangan yang termaktub di dalam perlembagaan parti, sudah pasti kita tidak akan menjangkau masa yang telah ditetapkan, cuma kita tidak tetapkan tarikh kita sekarang,” ujarnya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.