Fenomena Artis Dan Bomoh

Kuala Lumpur – Senario artis menggunakan khidmat berjumpa bomoh bukanlah perkara baharu dalam dunia hiburan tempatan.

Biarpun hidup dalam dunia moden, masih ada segelintir artis atau selebriti yang sanggup bersusah-payah berjumpa bomoh untuk menunaikan permintaan sendiri.

Selain permintaan, susuk juga antara salah satu khidmat paling popular di kalangan artis.

Susuk dipakai pada muka, pinggang, betis, alat sulit bagi tujuan kecantikan dan bagi menguatkan ilmu.

Manusia tidak pernah puas dengan apa yang dimiliki. Malah ada yang ingin mencari kesempurnaan dengan membuat ‘transformasi’ terhadap wajah mereka.

Menjelaskan perkata itu, Pian Cecupak atau nama sebenarnya Mohd Rafiq Abdul Rahman yang sebelum ini pernah mengaku menggunakan khidmat bomoh serta memakai susuk ketika bergelar penari suatu ketika dahulu.

Pian berkata kesan daripada mempercayai bomoh dengan bantuan syaitan, dia pernah terlantar koma selepas membuang susuk di wajahnya.

“Secara jujur, saya pernah jumpa bomoh dahulu tetapi saya dah buang segala jenis susuk sehingga terlantar koma. Sejak itu saya sedar bahawa saya telah melakukan dosa besar dan mahu kembali ke jalan Allah swt,” katanya.

Katanya setelah menyedari keburukan memakai susuk, beliau segera membuang malah merasa sendiri kesakitan dan keseksaan ketika membuang benda itu.

“Saya pakai susuk emas, susuk bunga ketika saya seorang penari sebelum menjadi artis, hingga saya jatuh sakit. Masa itu saya baharu berusia 19 tahun.

“Apabila saya dah kembali kepada jalan Allah, saya tidak akan mengulanginya kerana saya dah berjanji kepada Allah dan tidak mahu merasa sakit lagi,” katanya.

Dia berharap agar masyarakat memberi peluang dan melihat Pian yang ‘baharu’ sebagai individu yang baharu dilahirkan.

Dia yang turut menasihatkan masyarakat supaya tidak mensyirikkan Allah swt dengan percaya kepada bomoh juga berharap agar pilihan yang dibuat ketika usia muda menjadi pengajaran kepada orang ramai.

“Dalam kehidupan, kita perlu jujur kepada Allah. Dahulu saya tidak jujur, pergi jumpa bomoh untuk buat sesuatu tetapi sebenarnya Allah yang paling mengetahui, kita hsrus yakin dengan nikmat Allah. Saya dah terima hukuman Allah.

“Itu semua niat Allah swt. Saya pernah jadi jahat kemudian Allah swt kembalikan saya ke arah kebaikan,” katanya dengan nada sebak.

Menjelaskan isu itu, Imam Muda Asyraf berkata amalan menggunakan khidmat bomoh adalah antara dosa yang paling besar kerana syirik.

“Allah swt ada bagi amaran keras kepada mereka yang suka menggunakan khidmat bomoh (minta bantuan jin) bahawa taubatnya tidak akan diterima,” katanya.

Menurutnya amalan pemakaian susuk juga tidak diterima Allah kerana ianya menggunakan bantuan jin dengan menyeru sesuatu di sebalik benda berkenaan.

Menurut Asyraf, setiap ujian yang diberi Allah adalah ujian yang meminta manusia supaya bersabar menerima segala ketentuanNya.

“Ya memang benar Allah minta kita beriktiar tetapi dengan mengikut syariat Islam. Masyarakat zaman moden kini lebih suka menggunakan khidmat bomoh kerana tidak mempunyai kesabaran dan ingin cepat selesaikan masalah dengan cara yang tidak betul,” katanya.

“Islam tidak melarang perkhidmatan perubatan saintifik selagi ia dibenarkan oleh syariat Islam. Apa gunanya kita bertemu manusia lain dengan wajah yang cantik yang bertemankan syaitan tetapi kelihatan buruk apabila bertemu Allah swt,” katanya lagi. – Rakyat Post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.